Jumaat, 31 Disember 2021 | 12:26pm
Yusoff (kiri) yang juga Timbalan Presiden FAM dilantik menjadi pengurus skuad Harimau Malaya.
Yusoff (kiri) yang juga Timbalan Presiden FAM dilantik menjadi pengurus skuad Harimau Malaya.

Bebaskan skuad negara diuruskan 'orang dalam' FAM

KUALA LUMPUR: Semua pasukan kebangsaan di bawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bebas daripada dikendalikan 'orang dalam' dan yang terbabit secara langsung dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri.

Pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh menegaskan itu perubahan yang perlu dilakukan badan induk berkenaan sebagai langkah transformasi dalam usaha mengangkat tahap sukan nombor satu negara itu ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pembabitan 'orang luar' iaitu mereka yang tidak terbabit secara langsung dengan FAM atau persatuan tetapi berpengetahuan luas mampu 'membunuh' persepsi nakal yang sering diperkatakan oleh penyokong.

"Kalau tanya saya mengenai isu itu (FAM perlu pertimbang semula tawaran Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengendalikan skuad kebangsaan), saya rasa tidak perlu kerana Tunku Ismail juga terbabit secara langsung dengan pasukan bola sepak.

"Apa yang kita perlukan adalah individu yang berpengalaman tetapi tidak terikat dengan mana mana persatuan bola sepak ataupun FAM sendiri. Jangan lagi ambil pengurus yang ada kaitan secara terus dengan persatuan bola sepak.

"Tiada ada faedah kerana macam-macam hal akan timbul jika pendekatan sebegini terus diambil, apatah lagi nanti wujud persepsi yang tidak elok. Saya rasa kita ada ramai orang luar yang mampu mencurahkan kepakaran jika diberi peluang.

Serbegeth Singh.
Serbegeth Singh.

"FAM perlu mempertimbangkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan seperti Datuk K Rajagobal, B Sathianathan atau jurulatih seperti Azraai Khor Abdullah yang banyak membawa kejayaan.

"Mereka ini mencapai tahap tertinggi dan kini diperlukan sebagai pengurus untuk motivasi pemain serta pasukan kebangsaan," katanya kepada BH Sukan.

Ketika ini, skuad kebangsaan daripada senior sehinggalah pasukan pelapis dikendalikan oleh ahli jawatankuasa eksekutif FAM yang dilantik selaku pengurus.

Sebagai contoh, pengurus skuad Harimau Malaya yang tersingkir di peringkat kumpulan saingan Piala AFF adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi.

Terdahulu, persoalan timbul di mana adakah FAM perlu mencari alternatif lain dengan mempertimbangkan semula tawaran Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor itu untuk menguruskan skuad kebangsaan selepas ini?

Ia susulan kegagalan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe di Piala AFF yang turut menyaksikan mereka dibelasah 1-4 oleh Indonesia pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Berita Harian X