Selasa, 28 Disember 2021 | 4:58pm
Khairul Nizam mahu isu tunggakan gaji diselesaikan segera bagi hadapi saingan musim depan.
Khairul Nizam mahu isu tunggakan gaji diselesaikan segera bagi hadapi saingan musim depan.

Pemain Perak FC dapat tunggakan gaji Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Impact Media and Communications (IMC) membuktikan komitmen mereka sebagai 'bos' baharu Perak FC apabila bakal melunaskan tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan nilai lebih RM1 juta kepada pemain mereka.

Pengerusi Eksekutif Perak FC, Khairul Nizam Mahmood menjelaskan pengurusan mencapai persetujuan sementara untuk isu terbabit di mana mereka akan bertanggungjawab ke atas pembayaran gaji yang tertangguh dari Ogos sehingga November lalu.

Khairul Nizam berkata, pembayaran semua tunggakan itu akan dibahagikan kepada dua pembayaran iaitu pada Jumaat ini (31 Disember) bagi pembayaran pertama manakala pembayaran kedua akan dibuat pada 31 Januari, tahun depan.

"Kami memahami situasi semasa pemain dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin adalah keutamaan kami. Pemain sangat penting bagi kelab.

"Dalam tempoh mencabar ini, kami mahu memastikan kebajikan pemain dijaga supaya mereka boleh memberikan fokus kepada permainan dan menikmati sukan bola sepak yang mereka sayangi tanpa sebarang kegusaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pemain sudah meminta pasukan untuk melunaskan pembayaran sebelum 25 Disember namun dengan proses urusan peralihan hak milik kelab yang sedang dijalankan, pembayaran pertama hanya akan dilakukan pada 31 Disember.

"Walaupun surat aku janji sudah dikeluarkan kepada kesatuan pemain, kemungkinan besar majoriti pemain akan menandatangani perjanjian terbabit secara perseorangan sebaik sahaja bayaran pertama yang dijadualkan pada 31 Disember dibayar.

"Kami juga akan menghubungi pemain import kami yang sudah meninggalkan Malaysia menerusi wakil mereka atau kesatuan pemain dalam minggu yang berikutnya," kata Khairul.

Sebagai rekod, IMC sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk pengambilalihan hak milik Perak FC, awal bulan ini.

Perpindahan hak milik itu selesai dilakukan pada Jumaat lalu dan IMC memulakan proses transformasi kelab terbabit yang akan bersaing dalam Liga Perdana pada musim depan.

Berita Harian X