Rabu, 15 Disember 2021 | 12:00pm

Sri Pahang dapat tajaan RM1.13 juta

KUANTAN: Sri Pahang FC (SPFC) menerima tajaan RM1.13 juta daripada syarikat Hakka Clo Plt selama dua musim bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2022/2023.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kelab itu berbesar hati dengan kesediaan Hakka Clo Plt menaja skuad Sri Pahang FC.

"Sebenarnya, SPFC berterima kasih kerana syarikat kelengkapan sukan yang 100 peratus milik bumiputera ini sudi memilih Sri Pahang.

"Kita harap kerjasama yang diberikan ini dapat memberikan impak positif buat kedua-dua pihak sepanjang musim 2022/2023," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan dalam saingan Liga Super musim 2022-2023 di Sri Pahang FC Lounge, di sini, malam tadi.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu masing-masing diwakili Mohamed Suffian dari SPFC manakala Hakka Clo Plt diwakili CEO, Noor Soallihin Mohamed.

Sementara itu, Noor Soallihin berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Sri Pahang iaitu sebuah pasukan yang mempunyai nama besar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Oleh itu kami berharap dapat bersama memacu menaikkan nama Sri Pahang FC sebagai sebuah pasukan yang disegani di dalam Liga Super Malaysia untuk musim 2022-2023.

"Dengan pakaian yang ditaja ini, terutama dala, aspek kualiti, ia diharap dapat memberikan keselesaan dan semangat kerana pakaian juga boleh menaikkan motivasi pemain," katanya.

CEO Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang (dua kiri) bertukar dokumen dengan CEO Hakka Clo Plt, Noor Soallihin Mohamed (dua kanan) pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan Liga Super musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge, Kuantan. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
CEO Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang (dua kiri) bertukar dokumen dengan CEO Hakka Clo Plt, Noor Soallihin Mohamed (dua kanan) pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan Liga Super musim 2022/2023 di Sri Pahang FC Lounge, Kuantan. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Berita Harian X