Rabu, 15 Disember 2021 | 7:45am
Pemain tengah Bayern Munich, Serge Gnabry meraikan jaringan kelima pasukannya ketika menentang VfB Stuttgart di Stuttgart, Jerman. - AFP
Pemain tengah Bayern Munich, Serge Gnabry meraikan jaringan kelima pasukannya ketika menentang VfB Stuttgart di Stuttgart, Jerman. - AFP

Hatrik Gnabry bantu Bayern belasah Stuttgart

BERLIN: Bayern Munich membuka jurang sembilan mata di persada Bundesliga awal pagi tadi apabila Serge Gnabry meledak hatrik dan Robert Lewandowski menjaringkan dua gol ketika menang 5-0 mengatasi Stuttgart.

Gnabry meledak pada kedua-dua babak sebelum tiga gol lagi dijaringkan dalam tempoh lima minit termasuk dua oleh Lewandowski.

Ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann memuji Gnabry sebagai "pemain menakjubkan" - apabila memainkan peranan penting mendapatkan semua lima gol termasuk dua bantuan gol buat Lewandowski.

Penyerang Poland itu menambah jaringannya kepada 18 gol dalam 16 saingan liga musim ini ketika Bayern melalui 10 kemenangan berturut-turut dalam Bundesliga.

"Bayern boleh memusnahkan pasukan lain. Bukan hanya di Jerman tetapi juga peringkat antarabangsa," kata pengarah sukan Stuttgart, Sven Mislintat.

"Kami diberi pengajaran selepas mereka mendahului 3-0, mereka ada kualiti menakjubkan."

Gergasi dari Bavaria itu berada di landasan tepat untuk menang gelalaran ke-10 berturut-turut Bundesliga tetapi pasukan tangga kedua, Borussia Dortmund boleh mengurangkan kelebihan apabila menanti kehadiran Greuther Fuerth awal pagi esok.

Kecederaan memaksa Bayern sekali lagi menurunkan Jamal Musiala, 18, di bahagian tengah bertahan bersama Roca.

Mereka kehilangan pemain sayap Kingsley Coman pada setengah jam pertama saingan. - AFP

Berita Harian X