Isnin, 6 Disember 2021 | 8:55pm
Tindakan Khairul Fahmi angkat kaki terlalu tinggi mengakibatkan Kemboja dihadiahkan sepakan penalti pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF.
Tindakan Khairul Fahmi angkat kaki terlalu tinggi mengakibatkan Kemboja dihadiahkan sepakan penalti pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF.

Pengadil hadiah penalti 'pelik' kepada Kemboja

KUALA LUMPUR: Kemenangan 3-1 yang diraih Malaysia pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2020 dihangatkan dengan sepakan penalti 'pelik' yang dihadiahkan kepada Kemboja.

Ketika Malaysia selesa mendahului dengan 3-0, Kemboja beroleh gol pertama mereka di hujung permainan apabila pengadil dari Arab Saudi, Alhunfush Shukri Hussin menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-88 atas tindakan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Penjaga gawang berpengalaman itu dikatakan mengangkat kaki terlalu tinggi sekali gus dilihat melakukan terjahan ke atas pemain Kemboja pada aksi terbabit.

Malang berganda menimpa skuad negara kerana bukan setakat bolos menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Sath Rosib malah Khairul Fahmi turut dilayangkan kad kuning atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, jaringan lewat itu sekadar menjadi gol sagu hati buat Kemboja apabila aksi 90 minit ditamatkan dengan kemenangan mutlak buat Harimau Malaya.

Tiga jaringan skuad Harimau Malaya disumbangkan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada babak pertama sebelum dua gol separuh masa kedua daripada Akhyar Rashid dan R Kogileswaran.

Selepas ini, skuad negara akan meneruskan pemburuan tiga mata berdepan pasukan di ranking ke-185, Laos di Stadium Bishan, Khamis ini.

Berita Harian X