KUALA LUMPUR: Ribuan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City) sudah mula membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, malam ini.
Walaupun tidak semeriah aksi final dalam tahun-tahun sebelum ini susulan hanya 20,000 penonton di benarkan masuk ke stadium, namun kehangatan di pekarangan stadium ketika ini tetap dapat dirasai.
Terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, sebilangan penyokong tampak tetap teruja dan menghangatkan lagi suasana dengan menyanyikan lagu buat pasukan masing-masing walaupun perlawanan hanya akan bermula jam 9 malam ini.
Penyokong JDT, Azman Azmi mengakui suasana bagi final kali ini jauh berbeza dengan apa yang dirasai penyokong dalam final sebelum ini.
"Suasana tetap meriah tapi tidak semeriah sebelum ini yang mana perkarangan stadium sesak dengan puluhan ribu penyokong sejak dari tengah hari.
"Tapi kita terpaksa terima kerana inilah kebiasaan baharu yang perlu diharungi. Bagi perlawanan di atas padang saya fikir tetap sengit," katanya yang menaruh keyakinan JDT boleh memenangi Piala Malaysia yang dimenangi tahun 2019.
Sementara itu, penyokong KL City, Firdaus Mohamad mengakui sangat teruja untuk menyaksikan perlawanan akhir selepas sekian lama skuad City Boys tidak berjaya ke final.
"Walaupun perlu mematuhi pelbagai SOP mengikut kebiasaan baharu, tapi bagi saya ia tiada masalah dan sebagai penyokong KL City kami sangat teruja," katanya.
Perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini cukup istimewa kerana trofi itu akan menyambut ulang tahun ke-100 selain ini juga adalah penganjuran aksi final buat kali pertama dalam liga bola sepak tempatan selepas negara dilanda COVID-19.