Selasa, 30 November 2021 | 8:02am
Ralf Rangnick kini menjadi pengendali sementara Manchester United. - Foto ihsan MetroNews.
Ralf Rangnick kini menjadi pengendali sementara Manchester United. - Foto ihsan MetroNews.

United sah lantik Rangnick pengurus sementara

LONDON: Manchester United semalam mengumumkan pelantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara sehingga berakhirnya saingan musim ini, susulan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer.

Selepas berakhirnya tempoh itu, bekas pengendali RB Leipzig ini akan meneruskan khidmatnya di Old Trafford sebagai perunding selama dua tahun.

Jurulatih berusia 63 tahun dari Jerman itu berpindah dari Lokomotiv Moscow di mana dia menjadi pengurus sukan dan pembangunan.

"Beliau adalah calon nombor satu kami bagi mengisi jawatan pengurus sementara. Dia memiliki tahap kepimpinan tinggi dan kemahiran teknikal selama hampir empat dekad dengan pengalaman dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan,'' kata Pengarah Bolasepak United, John Murtough.

Rangnick mengambil tempat Michael Carrick yang menjalankan tugas sementara untuk dua perlawanan sejak Solskjaer disingkirkan selepas beberapa keputusan mengecewakan sebelum ini.

Mengulas pelantikannya itu, Rangnick berkata dia gembira menyertai United dan kini fokus menjadikan musim yang berjaya buat skuad yang sedang bergelut itu.

- AFP

Berita Harian X