Sabtu, 27 November 2021 | 8:06am
Cristiano Ronaldo sudah meledak 10 gol dalam 14 penampilan sejak kepulangannya ke Old Trafford. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo sudah meledak 10 gol dalam 14 penampilan sejak kepulangannya ke Old Trafford. - Foto AFP

Ronaldo buru gol ke-800 di Stamford Bridge

LONDON: Cristiano Ronaldo bakal mencapai gol ke-800 dalam kariernya untuk kelab dan negara jika dia menemui sasaran di Stamford Bridge esok.

Jaringannya untuk Manchester United ketika menentang Villarreal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah Selasa lalu membawa mereka ke pusingan kalah mati - dengan Ronaldo meledak enam daripada 10 gol di peringkat kumpulan.

Bintang Portugal itu mengumpul 10 gol dalam 14 penampilan sejak kepulangannya ke Old Trafford, namun ada yang menganggap kehadiran pemain 36 tahun menyebabkan United tidak seimbang.

Antara hujah yang diberikan ialah kehadirannya mengganggu pelan asal Ole Gunnar Solskjaer. Ronaldo juga dikatakan tidak sesuai untuk sistem bola sepak moden.

Namun hakikatnya Ronaldo masih cemerlang dalam bahagian paling sukar dan penting bola sepak - menjaringkan gol. Dia kini mengumpul 799 gol sejak 19 tahun lalu dan masih belum kelihatan angka itu akan berhenti di situ.

"Itu apa yang dia lakukan dalam perlawanan penting - apabila anda memerlukannya dia ada untuk melakukannya. Dia begitu tenang dan tidak gugup apabila ada peluang," kata Michael Carrick yang mengambil alih tugas Solskjaer selepas pengendali dari Norway itu dipecat.

United bakal berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea dengan keyakinan baharu selepas merakam kemenangan penting ke atas Villarreal.

Carrick dilihat membawa impak terhadap United namun ia hanyalah sementara sebelum Ralf Rangnick mengisi kerusi panas itu sehingga musim panas. - AGENSI

Berita Harian X