Sabtu, 27 November 2021 | 1:08am
 Pemain Kuala Lumpur City FC Muhammad Hadin Azman (depan, kiri) mengasak Pemain Melaka United FC Manuel Gelito Ott pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat dekat Krubong, hari ini. - BERNAMA

KL, JDT berentap di final

MELAKA: Kuala Lumpur City (KL City) menamatkan kemarau 32 tahun dengan mara ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Perlawanan itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan agregat 2-2 selepas tamat masa tambahan.

Kekalahan itu menyaksikan kemarau 100 tahun Melaka untuk mara ke final trofi berprestij itu terus berpanjangan.

Aksi yang bermula lewat itu akibat gangguan elektrik menyaksikan Melaka lebih awal melakukan asakan menerusi percubaan Giovane Gomes pada minit kelima dan ketujuh namun gagal menembusi kubu pelawat.

Pemain KL City FC mengasak pemain Melaka United FC, Gomes Da Silva (kiri) dalam aksi Perlawanan Bolasepak TM Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka. NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Pemain KL City FC mengasak pemain Melaka United FC, Gomes Da Silva (kiri) dalam aksi Perlawanan Bolasepak TM Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka. NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Ketika keghairahan tuan rumah melakukan asakan, KL City mencuri peluang menerusi aksi kelam kabut di muka gawang Melaka untuk jaringan pembukaan perlawanan.

Situasi terbabit membolehkan K Partiban berjaya menolak masuk jaringan pertama pasukannya pada minit kesembilan untuk menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Cemas selepas ketinggalan, skuad Hang Tuah cuba mengatur gerak lebih agresif bagi memadam kelebihan jaringan terbabit.

Beberapa percubaan bahaya tuan rumah menerusi Ahmad Syamim Yahya m-19 dan Adriano Narcizo (m-31) bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Kevin Mendoza.

Babak kedua menyaksikan Melaka terus berusaha memecah kebuntuan jaringan namun percubaan deras Khairul Anwar Shahrudin pada m-52 diselamatkan Kevin.

Pemain KL City FC mengasak pemain Melaka United FC, Faris Shah (tiga dari kiri) dalam aksi Perlawanan Bolasepak TM Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka. NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Pemain KL City FC mengasak pemain Melaka United FC, Faris Shah (tiga dari kiri) dalam aksi Perlawanan Bolasepak TM Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka. NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Kehadiran kira-kira 20,000 penyokong setia jelas membakar semangat tuan rumah untuk menggandakan asakan ke kubu pelawat kerana menyedari perlu untuk menyamakan kedudukan dan mencari gol tambahan.

Bagaimanapun, percubaan Manuel Ott pada minit ke-58 tersasar ke kiri gawang namun gol yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-65 menerusi jaringan Syamim.

Gol terbabit berpunca daripada sepakan sudut Sony Norde yang membias ke kaki Syamim yang pantas menolak masuk gol penyamaan.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal mencari gol tambahan pada baki aksi termasuk masa tambahan sekali gus menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Berita Harian X