Khamis, 25 November 2021 | 8:41pm
MKN tidak meluluskan permohonan MFL untuk membenarkan penyokong makan dan minum pada aksi final Piala Malaysia.
MKN tidak meluluskan permohonan MFL untuk membenarkan penyokong makan dan minum pada aksi final Piala Malaysia.

Final Piala Malaysia: Penyokong tidak dibenar makan, minum

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan permohonan untuk kebenaran makan dan minum di stadium serta tambahan kapasiti penonton bagi aksi final Piala Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan perkara itu sudah dimaklumkan kepada MFL oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

"Melalui surat yang diterima oleh pihak MFL, KBS sudah membentangkan permohonan berkenaan bagi pertimbangan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bilangan 8 Tahun 2021 pada 16 November 2021.

"Sehubungan itu, mesyuarat memutuskan yang aktiviti makan dan minum dalam kalangan penonton atau penyokong termasuk di kotak korporat (corporate box) adalah tidak dibenarkan.

"Seterusnya, kapasiti kehadiran penonton adalah kekal seperti ditetapkan di bawah standard operasi prosedur (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 iaitu 50 peratus kapasiti tempat duduk atau 20,000 orang (yang mana lebih rendah).

"Ketetapan ini adalah dengan mengambil kira penilaian risiko semasa dan KBS akan memaklumkan kepada MFL sekiranya terdapat perubahan daripada semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Stuart berkata, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang untuk menyediakan satu tapak khas bagi penjaja kenderaan saji (Food Truck) di pekarangan stadium untuk memudahkan penonton makan dan minum sebelum masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir itu nanti.

"MFL terpaksa akur dengan keputusan MKN ini dan kami mendengar keluhan penonton yang berharap agar mereka dibenarkan makan dan minum di dalam stadium.

"Namun dengan larangan ini, pihak MFL akan berusaha untuk menyediakan kemudahan makan dan minum di luar stadium sebelum penonton masuk ke dalam stadium," katanya.

Berita Harian X