Sabtu, 9 Oktober 2021 | 6:53pm
Safee (tengah) ketika aksi menentang Pahang pada saingan Piala Malaysia, bulan lalu.
Safee (tengah) ketika aksi menentang Pahang pada saingan Piala Malaysia, bulan lalu.

Safee harap dakap Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyerang berpengalaman Kuala Lumpur City FC (KL City), Safee Sali berharap boleh menjulang trofi Piala Malaysia buat pertama kali dalam kariernya selepas masih kempunan melakukannya dalam tempoh 20 tahun bergelar pemain.

Sudah menjangkau usia 37 tahun, Safee mengakui ini detik terbaik untuk merasai nikmat menjulang trofi tertua Asia Tenggara itu bagi melengkapkan koleksi kejuaraan utama domestik yang pernah dimilikinya di Liga Malaysia (Liga M).

Setakat ini dia sudah merasai kejayaan memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Sultan Ahmad Shah ketika bersama Selangor (2009-2010) dan Johor Darul Ta'zim (2014-2016).

"Secara jujur, saya mengharapkan ada rezeki buat kali ini bersama KL City kerana belum ada rezeki saya memenangi Piala Malaysia dengan tiap pasukan yang saya sertai.

"Saya sudah merasai kejayaan memenangi trofi utama sepanjang bermain di Liga Malaysia, tetapi jika berjaya memenangi Piala Malaysia, maka lengkaplah koleksi kejuaraan buat saya sepanjang bergelar pemain.

"Bersama KL City, saya akan berusaha sedaya upaya membantu pasukan mara sejauh mungkin dan berdasarkan prestasi hebat kami di laman sendiri yang belum tewas, saya rasa kami mampu melakar sesuatu.

"Segalanya tampak menjadi kebelakangan ini dengan segala kerja keras rakan sepasukan yang dipamerkan semasa latihan, mula membuahkan hasil dan harap rentak positif mampu diteruskan sepanjang TM Piala Malaysia," katanya.

KL City kini menduduki tangga kedua Kumpulan A selepas meraih empat mata hasil kemenangan 3-1 berdepan Sri Pahang FC selain mengikat Penang FC 1-1 di Stadium Bandaraya sebelum ini.

Selain itu, Safee dilihat berjaya memikat hati jurulatih KL City, Bojan Hodak selepas diturunkan dalam empat perlawanan terakhir skuad City Boys itu selepas sekian lama diletakkan di bangku simpanan.

"Ketiadaan penyerang import (Kyrian Nwabueze) selain ketiadaan Paulo Josue pada waktu itu yang cedera, mungkin membuka ruang buat saya untuk diturunkan malah saya berpuas hati dapat sumbangkan satu gol semasa bertemu Kedah.

"Apabila diturunkan buat pertama kali, tidak dinafikan ada perasaan kekok kerana sekian lama tidak bermain tetapi saya rasa bersyukur sudah boleh menyesuaikan diri," kata Safee.

Berita Harian X