Jumaat, 1 Oktober 2021 | 8:07am
Legenda bola sepak Brazil, Pele dibenarkan keluar hospital dan akan menjalani kemoterapi. - AFP
Legenda bola sepak Brazil, Pele dibenarkan keluar hospital dan akan menjalani kemoterapi. - AFP

Pele jalani kemoterapi

SAO PAULO: Legenda bola sepak Brazil, Pele dibenarkan keluar hospital selepas sebulan mendapat rawatan berikutan pembedahan ketumbuhan kolon tetapi akan terus menjalani kemoterapi kata pasukan perubatan yang merawatnya.

Pele, 80, mendapat rawatan di Hospital Albert Einstein dekat Sao Paulo sejak 31 Ogos apabila ketumbuhan itu dikesan selepas menjalani ujian rutin.

Pele, menjalani pembedahan pada 4 September dan berada dalam keadaan "stabil" kata doktor.

Pihak hospital tidak menggunakan perkataan "kanser" dalam kenyataannya dan tidak memberikan butiran terperinci mengenai kemoterapi perlu dilalui Pele, namun rawatan itu biasanya dibuat untuk pesakit kanser.

"Saya gembira pulang ke rumah," kata Pele dalam satu kenyataan di Facebook.

"Saya berterima kasih kepada keseluruhan pasukan perubatan Hospital Albert Einstein, yang memudahkan saya ketika berada di sana. Terima kasih juga kepada anda semua yang dari jauh melengkapkan hidup saya dengan begitu banyak mesej menyatakan rasa sayang."

"Apabila melalui jalan yang sukar, raikan setiap langkah. Fokus kepada kegembiraan. Memang benar saya tidak lagi boleh melompat, tetapi sejak beberapa hari lalu, saya berasa lebih baik," katanya. - AFP

Berita Harian X