Rabu, 22 September 2021 | 7:46pm
Penyerang JDT II, Fernando Rodriguez Ortega (dua kanan) dicabar pemain Sarawak United FC, Taylor Francis George Regan pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin semalam. Keputusan berakhir 1-1.- Foto BERNAMA.
Penyerang JDT II, Fernando Rodriguez Ortega (dua kanan) dicabar pemain Sarawak United FC, Taylor Francis George Regan pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin semalam. Keputusan berakhir 1-1.- Foto BERNAMA.

Sarawak Utd kini tumpu Piala Malaysia

JOHOR BAHRU: Selepas berakhirnya saingan Liga Perdana dengan Sarawak United FC muncul naib juara, pengendalinya, E Elavarasan kini mahu menumpukan persiapan untuk menghadapi aksi Kumpulan A saingan Piala Malaysia yang akan menyingkap tirainya, pada Ahad ini.

Elavarasan bagaimanapun terpaksa melupakan khidmat penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Amer Saidin dan Badrul Affendy yang digantung beberapa perlawanan untuk berdepan pasukan Penang FC, KL City FC dan Sri Pahang FC.

Katanya, saingan Piala Malaysia berbeza berbanding Liga Perdana kerana ia lebih sukar berikutan tiga pasukan dari Liga Super itu memiliki kelebihan masing-masing sekali gus memerlukan mereka lebih mantap lagi.

"Saya akui kami akan berdepan pasukan hebat tapi kami jangkakan Penang adalah pencabar utama berdasarkan kredibiliti pasukan itu dalam saingan Liga Super. Malah dua lagi pasukan juga boleh mengundang kesukaran buat kami.

"Apapun tiga pasukan yang berada dalam Kumpulan A, semuanya berpengalaman dan ada kelebihan tersendiri berbanding kami yang masih baharu dalam kancah Piala Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai persembahan skuad Enggang Emas yang terikat 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi, Elavarasan tetap berpuas hati dengan corak permainan pemainnya.

Pada perlawanan itu, Sarawak United FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ucha Agba seawal minit keempat, sebelum JDTI bangkit menyamakan kedudukan ketika aksi berbaki enam minit melalui pemain gantian, Stuart Wilkin.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Sanchez gembira dengan pencapaian skuad itu selepas menamatkan saingan liga di tangga keempat. Katanya, barisan pemain muda yang beraksi pada kancah liga juga menunjukkan peningkatan mendadak.

"Sudah tentu saya berpuas hati selepas skuad yang dibimbing mampu berada di kelompok lima terbaik. Pemain muda terutama pemain bawah 20 tahun seperti Chia (Rou Han), Asyar Hadi (Mohd Shapri), Alif (Abdul Mutalib) dan Firdaus (Ramli) yang beraksi cemerlang sepanjang saingan liga," katanya.

Berita Harian X