Sabtu, 11 September 2021 | 7:14am
Pele masih dirawat di ICU selepas jalani pembedahan barah usus.
Pele masih dirawat di ICU selepas jalani pembedahan barah usus.

Pele masih dirawat di ICU

SAO PAULO: Doktor Pele mengesahkan legenda bola sepak Brazil itu masih dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) tetapi semakin pulih selepas menjalani pembedahan barah usus.

Pasukan perubatan Pele di Hospital Albert Einstein di sini dalam satu kenyataan berkata legenda itu "aktif bercakap dan menunjukkan tanda-tanda positif."

Pele, 80, menulis di Instagram untuk meyakinkan peminatnya.

"Rakan-rakan saya, dengan setiap hari yang berlalu, keadaan saya semakin baik. Saya tidak sabar untuk bermain lagi, tetapi saya akan pulih untuk beberapa hari lagi," katanya.

"Semasa saya di sini, saya mengambil kesempatan untuk banyak bercakap dengan keluarga dan berehat. Terima kasih sekali lagi untuk semua pesanan yang penuh kasih sayang. Kami akan bersama lagi tidak lama lagi!"

Barah berkenaan dikesan ketika pemeriksaan kesihatan rutin dan dihantar untuk diuji, ketika Pele menerima rawatan di hospital itu sejak 31 Ogos lalu.

Dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, Pele yang nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sering menjalani rawatan di hospital.

Satu-satunya pemain dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970), Pele melonjak ke pentas global pada usia 17 tahun dengan gol yang menakjubkan, termasuk dua di final menentang tuan rumah Sweden, ketika Brazil memenangi Piala Dunia untuk pertama kalinya pada 1958.

Diberi gelaran "O Rei" (Raja), Pele antara pemain paling terkenal dalam sejarah sukan, menjaringkan lebih dari 1,000 gol sebelum bersara pada 1977. - AFP

Berita Harian X