Sabtu, 4 September 2021 | 11:06pm
Pemain Kedah Darul Aman FC, Kipre Tchetche Hermann (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur City FC Muhammad Akram Mahinan (kiri) dan Mohd Kamal Azizi Zabri (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

KL City terus gah di laman sendiri

KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) terus kebal di gelanggang sendiri selepas berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA) 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak muncul pasukan yang tidak pernah tewas di gelanggang sendiri sepanjang musim ini selain mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam 11 perlawanan terakhir Liga Super.

Tiga mata yang diraih itu menyaksikan KL City berada di kedudukan keenam dengan mengumpul 33 mata dan akan mengharungi aksi terakhir berdepan juara lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang lawan, 12 September ini.

Walaupun tewas, KDA masih kekal di tangga kedua dengan 39 mata, namun perlu mengelak daripada tericir mata penting dalam baki dua perlawanan lagi sekiranya mahu merangkul gelaran naib juara.

Pada aksi sebentar tadi, KL City terlebih dahulu berada di depan menerusi sepakan penalti Romel Morales seawal minit keenam selepas bola terkena tangan pertahanan Kedah, Loqman Hakim Marzuki.

 Pemain Kedah Darul Aman FC, Mohd Syazwan Zainon (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur City FC, Romel Oswado Morales (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Kuala Lumpur. - Foto Hazreen Mohamad

Penyerang berpengalaman, Safee Sali kemudian menggandakan jaringan buat City Boys selepas tenang menyudahkan hantaran silang J Partiban pada minit ke-26.

KDA bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan lapan minit kemudian menerusi percubaan Kipre Tchetche untuk memberi sedikit kelegaan buat pasukannya pada babak pertama.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit sepanjang babak kedua, namun gagal menambah jaringan dan keputusan 2-1 memihak KL City kekal hingga wisel penamat.

Berita Harian X