Sabtu, 24 Julai 2021 | 11:14pm
Pemain Terengganu FC, Mohamad Faisal Halim (kiri) diasak pemain Perak FC, Muhammad Rafiuddin Roddin pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Mohamad Faisal Halim (kiri) diasak pemain Perak FC, Muhammad Rafiuddin Roddin pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Ghazali Kori

TFC belasah Perak

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) berpesta gol di laman sendiri selepas membenam Perak FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain terus menghuni tangga kedua liga dengan berkongsi 30 mata bersama pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berkelebihan jaringan.

TFC yang membariskan pemain import baharu dari Bahrain, Habib Haroon hampir di depan menerusi rembatan padu Dechi Marcel pada minit ke-14 yang sedikit tersasar sekali gus terselamat pintu gol pelawat yang dikawal Muhammad Hafizul Hakim.

Empat minit berselang, gol yang dicari akhirnya menjelma apabila Faisal Halim bijak menyambung hantaran silang Faiz Nasir dalam kotak penalti yang gagal dibaca Hafizul.

Skuad Penyu yang lebih banyak mendominasi permainan berjaya menambah jaringan kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 yang mudah disempurnakan penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva untuk kedudukan 2-0.

Penalti itu terhasil selepas Faisal yang mendapat bola umpanan Makan Konate dijatuhkan pertahanan, Muhammad Rafiudddin Roddin dan pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti.

Pada minit ke-41, tuan rumah berjaya menambah gol ketiga hasil jaringan sendiri pertahanan pelawat kelahiran England, Charles Machell yang tertampan masuk bola hasil hantaran Faiz.

Pemain TFC meraikan kemenangan selepas membelasah Perak 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - FOTO GHAZALI KORI
Pemain TFC meraikan kemenangan selepas membelasah Perak 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - FOTO GHAZALI KORI

Sepanjang babak pertama, skuad The Bos Gaurus kendalian Chong Yee Fatt gagal melakukan percubaan berbahaya selain dilihat belum serasi selepas memasukkan lima tenaga import baharu ketika jendela kedua perpindahan pemain Mei lalu.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Nafuzi Zain bagaikan melepaskan geram apabila hampir berjaya menambah jaringan keempat pada minit ke-55 menerusi Da Silva, namun terkena tiang.

Pemain gantian, Hakimi Abdullah meledak gol keempat hasil hantaran Mohamad Rahmat Makasuf pada minit ke-70.

Pada masa kecederaan, pemain gantian Nik Akif Syahiran Nik Mat menambah derita pelawat apabila berjaya meledak gol kelima menerusi sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Berita Harian X