Sabtu, 24 Julai 2021 | 11:03pm
Pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur City, Muhammad Irfan Zakaria (kiri) pada perlawanan bola sepak Liga Super Kuala Lumpur City menentang Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. - FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur City, Muhammad Irfan Zakaria (kiri) pada perlawanan bola sepak Liga Super Kuala Lumpur City menentang Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. - FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Selangor, KL City terikat

KUALA LUMPUR: Tiada pasukan dapat menuntut status 'Raja Lembah Klang' pada musim ini selepas KL City FC dan Selangor FC (SFC) sama-sama liat apabila terikat 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ini menyaksikan tiga pertembungan 'Derbi Lembah Klang' yang berlangsung sepanjang musim ini berakhir dengan keputusan seri selepas mereka seri tanpa jaringan pada perlawanan pramusim dan seri 1-1 pada aksi pusingan pertama sebelum ini.

Pada aksi terbabit, KL City yang beberapa kali memasuki kotak penalti SFC akhirnya mendahului permainan selepas mereka dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke-38.

Sepakan percuma yang diambil kapten pasukan, Paulo Josue berjaya menerjah gawang SFC selepas ia gagal diselamatkan penjaga gawang, Khairul Azhan Khalid.

Namun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pemain tengah SFC, Oliver Buff cepat menyambar bola yang ditepis Kevin Mendoza untuk mengikat kedudukan pada minit ke-43.

Bersambung babak kedua, KL City FC beroleh peluang keemasan pada minit ke-65 menerusi situasi satu lawan satu namun percubaan Kyrian Nwabueze berjaya diselamatkan Khairul Azhan.

SFC hampir meraih gol kemenangan pada lewat permainan namun tampanan Ifedayo Olusegun di hadapan gawang KL City FC tidak menemui sasaran sekali gus menyaksikan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PJ City FC merakam kemenangan berganda ke atas Sabah selepas menang 1-0 hasil jaringan Sunil Chandran pada minit ke-89.

Ini adalah kemenangan kedua skuad bimbingan P Maniam ke atas skuad Tambadau selepas turut menang 1-0 pada aksi di Stadium Likas, sebelum ini.

Berita Harian X