Khamis, 22 Julai 2021 | 2:28pm
Pemain JDT menjalani latihan menjelang aksi Liga Super menentang UiTM FC, Ahad ini.
Pemain JDT menjalani latihan menjelang aksi Liga Super menentang UiTM FC, Ahad ini.

JDT letak tanda aras bola sepak ASEAN

KUALA LUMPUR: Jenama Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana bukan setakat menjadi 'raja' dalam kancah domestik, namun turut mendapat perhatian secara global.

Berdasarkan pelbagai rekod yang dicipta dan trofi yang menghiasi kabinet, JDT muncul sebagai kuasa bola sepak baharu yang ketika ini seakan tidak mampu di saingi oleh mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu diapit dengan kejuaraan Piala AFC pada 2015, mereka turut bersaing dalam kancah tertinggi bola sepak Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) untuk tiga musim berturut-turut.

Strategi dan perancangan yang dilakukan skuad Harimau Selatan itu jelas mendapat pujian daripada Ketua Hubungan Kerajaan dan Fasiliti Football Victoria di Australia, Sebastian Hassett menerusi ciapan pada Twitternya.

Malah, Hasset mengakui dia akan terbang ke Malaysia dan berkunjung ke JDT selepas pandemik COVID-19 berakhir bagi menyaksikan sendiri apa yang direncanakan oleh pemilik pasukan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Ini adalah penanda aras untuk rantau ini dan ia harus dijadikan inspirasi untuk kita semua. Ini adalah contoh terbaik cita-cita berkelas dunia yang kita mahukan dari kelab ASEAN.

"Saya berpendapat ia akan menjadi pemangkin kepada rantau ini agar mula mengambil pelaburan infrastruktur dengan serius. Ini adalah contoh apa yang boleh dicapai apabila anda meletakkan bola sepak sebagai keutamaan.

"JDT sedang menikmatinya sekarang - tetapi ia bakal meningkatkan bola sepak Malaysia dan ASEAN," katanya.

Sebagai rekod, JDT sedang mendahului carta Liga Super dengan 30 mata hasil sembilan kemenangan dan tiga seri, hanya tewas satu perlawanan dalam 13 perlawanan diharungi setakat ini.

Ketika kempen ACL mereka pada musim ini sudah berakhir di peringkat kumpulan, anak buah Benjamin Mora itu dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam misi merangkul gelaran Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Berita Harian X