Jumaat, 25 Jun 2021 | 12:02am
Cristiano Ronaldo kini mendahului senarai penjaring di Kejuaraan Eropah dengan lima gol untuk Portugal. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo kini mendahului senarai penjaring di Kejuaraan Eropah dengan lima gol untuk Portugal. - Foto AFP

Ronaldo mungkin kembali ke Old Trafford

LONDON: Cristiano Ronaldo mungkin akan kembali ke Manchester United musim panas ini, dengan bintang Juventus itu dilihat semakin berpotensi meninggalkan Stadium Allianz.

Sebelum ini Ronaldo pernah berbincang dengan Manchester City untuk perpindahan ke Stadium Etihad, tetapi faktor kewangan membataskan perjanjian itu.

Ronaldo kini mendahului senarai penjaring di Kejuaraan Eropah dengan lima gol untuk Portugal.

Dia meledak dua gol dalam setiap perlawanan menentang Hungary dan Perancis, serta satu gol dalam kekalahan 4-2 di tangan Jerman.

Walaupun sudah mencecah usia 36 tahun, prestasinya yang masih di tahap tertinggi itu menarik perhatian kelab-kelab besar terutama bekas kelabnya, United.

Menurut laporan, kelab itu bersedia membelanjakan 17 juta pound (RM98.36 juta) setahun untuk kepulangan bintangnya itu, 12 tahun selepas dia meninggalkan Old Trafford untuk bersama Real Madrid.

Ketika bersama Real Madrid, kem Ronaldo pernah berbincang dengan City untuk membawanya ke Etihad namun tidak menjadi kenyataan.

Ronaldo kemudian menyertai Juventus pada tahun 2018 dan meledak lebih 100 gol sepanjang tiga musim di sana.

Kelab Serie A itu berat untuk melepaskannya tetapi beban kewangan sepanjang pandemik mampu mempengaruhi Juventus. - AGENSI

Berita Harian X