Khamis, 24 Jun 2021 | 10:35pm
Skuad bola sepak wanita kebangsaan diundi dalam Kumpulan H pusingan kelayakan Piala Asia 2022.
Skuad bola sepak wanita kebangsaan diundi dalam Kumpulan H pusingan kelayakan Piala Asia 2022.

Malaysia diundi bersama Thailand, Palestin

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita negara diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand dan Palestin, pada pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 yang akan berlangsung bermula 13 hingga 25 September ini.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan berkata sebanyak 28 pasukan telah diundi dalam empat kumpulan melibatkan empat pasukan dan empat kumpulan terdiri daripada tiga pasukan pada majlis undian yang diadakan di ibu pejabatnya, AFC House di Bukit Jalil, hari ini.

Juara bagi setiap kumpulan akan layak ke Kejohanan Premier antara 12 pasukan kebangsaan wanita di benua ini. Tuan rumah India, serta tiga pasukan terbaik edisi 2018 - Jepun, Australia dan China, telah melayakkan diri ke kejohanan tersebut yang akan diadakan dari 20 Januari hingga 6 Februari 2022.

Sementara itu, undian bagi aksi playoff pusingan ketiga kelayakan Piala Asia China (lelaki) 2023 menyaksikan Indonesia bakal berdepan Taiwan, sementara Guam akan menentang Kemboja.

Pemenang bagi dua perlawanan timbal balik pada 7 September dan 12 Oktober ini akan mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia.

Skuad Harimau Malaya mengesahkan tempat mereka di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia setelah menduduki tangga ketiga Kumpulan G pusingan kedua, baru-baru ini.

Undian Kelayakan Piala Asia Wanita AFC (India) 2022

Kumpulan A: Taiwan, Bahrain, Turkmenistan, Laos.

Kumpulan B: Vietnam, Tajikistan, Maldives, Afghanistan.

Kumpulan C: Korea Utara, Singapura, Iraq, Indonesia.

Kumpulan D: Myanmar, Emiriah Arab Bersatu, Guam, Lubnan.

Kumpulan E: Korea Selatan, Uzbekistan, Mongolia.

Kumpulan F: Filipina, Hong Kong, Nepal.

Kumpulan G: Jordan, Iran, Bangladesh.

Kumpulan H: Thailand, Palestin, MALAYSIA. - BERNAMA

Berita Harian X