Khamis, 24 Jun 2021 | 10:28pm
Presiden UEFA Aleksander Ceferin. - Foto AFP
Presiden UEFA Aleksander Ceferin. - Foto AFP

UEFA hapus peraturan gol tempat lawan

LAUSANNE, Switzerland: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) membuat keputusan untuk menghapuskan peraturan gol tempat lawan daripada semua pertandingan kelab Eropah berkuat-kuasa serta merta.

Peraturan yang diperkenalkan pada tahun 1965 itu, digunakan untuk menentukan pemenang aksi timbal balik sekiranya ia berakhir dengan keputusan seri secara agregat.

Kini dalam perlawanan di mana dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama selepas aksi timbal balik, permainan akan masuk ke masa tambahan dan kemudian penalti jika masih terikat.

Presiden UEFA Aleksander Ceferin berkata: "Peraturan gol tempat lawan menjadi sebahagian daripada pertandingan UEFA sejak ia diperkenalkan pada tahun 1965.

"Bagaimanapun perdebatan untuk memansuhkannya sering timbul dalam mesyuarat UEFA sejak beberapa tahun lalu.

"Walaupun banyak perbezaan pendapat, ramai jurulatih, peminat dan pemegang taruh bola sepak mempersoalkan keadilannya dan cenderung mahu ia dihapuskan.

"Impak peraturan itu sekarang mengatasi tujuan asalnya, malah menggalakkan pasukan tuan rumah - terutama di babak pertama - daripada menyerang kerana takut dibolosi.

"Terdapat juga kritikan berkenaan keadilan, terutama dalam masa tambahan, untuk pasukan tuan rumah menjaringkan dua gol jika pasukan lawan berjaya membolosi mereka.

"Saya boleh katakan kelebihan sebagai tuan rumah kini tidak lagi penting seperti dulu.

"Mengambil kira gaya permainan di sekitar Eropah, dan pelbagai faktor berbeza yang menjurus kepada penyusutan kelebihan sebagai tuan rumah, Jawatankuasa Eksekutif UEFA mengambil keputusan yang tepat berkenaan gol tempat lawan." - AGENSI

Berita Harian X