X
Rabu, 23 Jun 2021 | 6:43am
Luke Shaw dilihat minum air dalam tin yang dibaluti penuh, sekali gus menimbulkan kontroversi mengenai peraturan penajaan di Euro 2020. - Foto AGENSI
Luke Shaw dilihat minum air dalam tin yang dibaluti penuh, sekali gus menimbulkan kontroversi mengenai peraturan penajaan di Euro 2020. - Foto AGENSI

EURO: Luke Shaw pula buat hal

LONDON: Luke Shaw dilihat meminum air dalam tin yang dibaluti, sekali gus menimbulkan kontroversi mengenai peraturan penajaan di Euro 2020.

Tin minuman pemain bek kiri itu dibaluti penuh menutupi jenama minuman berkenaan, dengan Shaw dilihat meminum air tin terbabit sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Republik Czech di Wembley.

Bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba sebelum ini mendapat perhatian meluas apabila mengalihkan botol minuman tajaan daripada meja bilik sidang media.

Tindakan Shaw pula berbeza, meminum air daripada tin dibaluti itu menjelang perlawanan yang menyaksikan England meraih kemenangan 1-0, sekali gus melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas mengungguli Kumpulan D.

Kedudukan itu secara tidak langsung meletakkan mereka dalam rintangan lebih getir apabila berpotensi bertemu Perancis, Jerman ataupun Portugal dalam saingan 16 terbaik nanti.

Tandukan Raheem Sterling memberikan kemenangan buat pasukan tuan rumah selepas digandingkan bersama Bukayo Saka dan Jack Grealish.

Tindakan legenda Portugal, Ronaldo dan pemain tengah Perancis, Pogba mengalihkan botol minuman tajaan itu dipandang serius pihak UEFA dengan badan induk bola sepak Eropah itu memberi amaran kepada pemain untuk tidak menghadang produk tajaan penaja.

Tonggak Juventus, Ronaldo memulakan trend mengalihkan botol minuman Coca-Cola dan memberitahu kamera untuk 'meminum air', berbanding minuman berkarbonat itu.

UEFA kemudian bertindak balas dengan berkata: "Pemain ditawarkan air, termasuk Coca-Cola dan Coca-Cola tanpa gula ketika tiba di bilik sidang media."

Gambar fail, tindakan Pogba mengalihkan botol minumaan keras yang berada di depan meja bilik media.
Gambar fail, tindakan Pogba mengalihkan botol minumaan keras yang berada di depan meja bilik media.

Pogba yang beragama Islam turut mengalihkan botol minuman keras yang berada di depan meja bilik media dan tindakannya itu menerima sokongan di media sosial.

Salah seorang penyokong berkata: "Meletakkan minuman beralkohol di depan seorang Muslim adalah sesuatu yang tidak boleh dihormati... kamu tidak boleh menyalahkan Pogba."

Antara lain berkata: "Dia seorang Muslim. Kenapa meletakkan 'beer' di depannya?. Penaja harus lebih rasional." - AGENSI

Berita Harian X