X
Ahad, 20 Jun 2021 | 11:30am
Bintang Belanda, Memphis Depay (kiri) dan Quincy Promes menyertai latihan bersama pasukannya di KNVB Campus, Zeist semalam. - Foto AFP/ANP
Bintang Belanda, Memphis Depay (kiri) dan Quincy Promes menyertai latihan bersama pasukannya di KNVB Campus, Zeist semalam. - Foto AFP/ANP

EURO: Aksi maruah Macedonia bertemu Belanda

AMSTERDAM: Macedonia Utara akan bertemu Belanda di Amsterdam Arena di sini pada tengah malam Selasa ini waktu Malaysia, sekadar untuk melengkapkan perlawanan terakhir Kumpulan C saingan Euro 2020.

Belanda mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan dengan kemenangan 2-0 ke atas Austria Khamis lalu selepas Macedonia Utara tersingkir susulan kekalahan 2-1 kepada Ukraine.

Selepas layak ke Euro 2020 menerusi Liga Negara-Negara UEFA, Macedonia Utara tidak diletakkan sebagai pilihan untuk mara ke pusingan kalah mati. Malah ramai yang meragui skuad kendalian Igor Angelovski mampu menjaringkan gol di kejohanan itu.

Jadi dengan menjaringkan gol dalam kekalahan kepada Austria dan Ukraine, The Lynxes membuktikan tanggapan terhadap mereka meleset sama sekali.

Bagaimanapun Angelovski mungkin kecewa dengan benteng pasukannya yang membenarkan Andriy Yarmolenko bergerak bebas untuk meletak Ukraine di depan pada babak pertama, dan jaringan kedua menerusi Roman Yaremchuk.

Pertahanan Leeds United, Ezgjan Alioski menjaringkan gol selepas sepakan penaltinya ditampan penjaga gol untuk menghidupkan kembali harapan Macedonia Utara, tetapi Ukraine terus bertahan dengan kelebihan satu gol.

Anak buah Angelovski akan menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan, tetapi kunjungan ke Amsterdam bertemu juara kumpulan adalah untuk maruah mereka di kejohanan ini.

Belanda pula pasti mahu menggunakan peluang ini untuk merehatkan tonggak utamanya menjelang pertemuan kalah mati dengan salah satu daripada empat pasukan di tangga ketiga terbaik di Budapest pada 27 Jun.

Pasukan Belanda kendalian Frank de Boer tampil cemerlang ketika menewaskan Austria 2-0 Khamis lalu, dengan penalti babak pertama Memphis Depay dan rembatan Denzel Dumfries di babak kedua menjelmakan kemenangan buat mereka.

Barisan kemungkinan Macedonia Utara - Dimitrievski, Ristovski, Velkovski, Musliu, Trajkovski, Ademi, Churlinov, Bardhi, Alioski, Elmas, Pandev.

Barisan kemungkinan Belanda - Stekelenburg; De Vrij, De Ligt, Ake, Dumfries, Gravenberch, F De Jong, Wijnaldum, Wijndal, L De Jong, Depay.

- AGENSI

Berita Harian X