Jumaat, 18 Jun 2021 | 12:55pm
Messi mengatasi rekod Ronaldo untuk jaringan menerusi sepakan percuma. - Foto AFP
Messi mengatasi rekod Ronaldo untuk jaringan menerusi sepakan percuma. - Foto AFP

Messi jaringkan gol sepakan percuma bersejarah, atasi Ronaldo

BRASILIA: Lionel Messi mengatasi rekod Cristiano Ronaldo untuk jaringan menerusi sepakan percuma.

Jaringan Messi untuk Argentina dalam saingan Copa America ketika menentang Chile menjadikan keseluruhan 57 gol dijaringkannya menerusi sepakan percuma, paling tinggi untuk pemain yang masih aktif dan satu melebihi Ronaldo.

Namun, Ronaldo yang juga penyerang Juventus membalasnya dengan beberapa rekod baharu dalam kemenangan 3-0 Portugal ke atas Hungary.

Dua gol Ronaldo dalam tempoh lima minit menjadikannya penjaring terbanyak Euro dengan 11 gol, dua melebihi maestro Perancis, Michel Platini.

Pada usia 36 tahun 130 hari, Ronaldo juga menjadi penjaring tertua dalam sejarah kejohanan, menjaringkan dua gol atau lebih dalam satu perlawanan.

Sebelum ini, bekas pemain Ukraine, Andriy Shevchenko memegang rekod pada usia 35 tahun 256 hari ketika dia meledak dua gol dalam aksi bertemu Sweden pada tahun 2012.

Ronaldo juga sudah mengumpul 106 gol antarabangsa, kurang tiga berbanding rekod dipegang Ali Daie dari Iran.

Namun, persaingan gol sepakan percuma antara Messi dan Ronaldo masih sengit.

Messi meledak tujuh gol daripada sepakan percuma untuk Argentina dan 50 untuk Barcelona.

Ronaldo pula menyempurnakan 32 sepakan percuma untuk Real Madrid, 13 untuk Manchester United, 10 untuk Portugal dan satu untuk Juventus.

Messi juga mengungguli gelaran Ballon d'Or dengan enam gelaran, berbanding lima oleh Ronaldo.

Namun, berdasarkan usia yang lebih muda, Messi dijangka mampu mengatasi beberapa rekod Ronaldo sebelum kedua-duanya bersara. - Agensi

Berita Harian X