Jumaat, 18 Jun 2021 | 10:41am
Ronaldo dalam sidang media sebelum ini mengalihkan minuman penaja Euro 2020 dan menyarankan peminat untuk minum air kosong. - Foto Agensi
Ronaldo dalam sidang media sebelum ini mengalihkan minuman penaja Euro 2020 dan menyarankan peminat untuk minum air kosong. - Foto Agensi

EURO: Pemain alih minuman penaja boleh didenda - UEFA

NYON, Switzerland: Pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Euro 2020 boleh dikenakan denda sekiranya pemain mereka mengalihkan minuman yang disediakan oleh pihak penaja dalam sidang media, seperti yang dilakukan Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba.

Isnin lalu, Ronaldo yang juga kapten pasukan Portugal mengalihkan dua botol minuman Coca-Cola dan menyarankan kepada peminat untuk 'minum air kosong'.

Pada keesokan harinya, pemain tengah Perancis, Pogba secara tidak sengaja mengalihkan botol minuman keras penaja Euro 2020 dalam sidang media.

Pemain tengah Itali, Manuel Locatelli menjadi pemain terbaru mengetepikan botol Coca-Cola di meja sidang media Euro 2020.

"UEFA sudah mengingatkan pasukan yang menyertai kejohanan ini bahawa penaja tidak boleh dipisahkan daripada pertandingan bagi memastikan perkembangkan bola sepak di seluruh Eropah, termasuk untuk remaja dan wanita," kata penganjur kejohanan semalam.

Pengarah Kejohanan Euro 2020, Martin Kallen, berkata pemain setiap pasukan diwajibkan secara kontrak 'perlu mengikuti peraturan pihak gabungan kejohanan'.

Bagaimanapun, beliau memahami tindakan pemain seperti Pogba yang melakukan tindakan itu atas alasan keagamaan.

"Setiap pasukan sudah diingatkan mengenai peraturan kontrak mereka dalam kejohanan ini dan mungkin boleh dikenakan tindakan disiplin," kata Kallen.

UEFA setakat ini tidak berhasrat untuk mengenakan tindakan ke atas semua pemain yang terbabit.

"Kita tidak pernah mendenda pemain secara terus dari UEFA, tetapi kita akan melakukannya melalui pasukan kebangsaan yang mengambil bahagian pada kejohanan ini dan kemudiannya melihat tindakan apa yang boleh diambil." - Agensi

Berita Harian X