X
Khamis, 17 Jun 2021 | 2:30am
Pemain tengah Belanda, Jurrien Timber (kiri) dan pertahanan, Daley Blind menaiki basikal ke pusat latihan pasukan di Zeist sebagai persiapan berdepan Austria. - Foto AFP.
Pemain tengah Belanda, Jurrien Timber (kiri) dan pertahanan, Daley Blind menaiki basikal ke pusat latihan pasukan di Zeist sebagai persiapan berdepan Austria. - Foto AFP.

EURO: Belanda, Austria saling optimis menang

AMSTERDAM: Austria dan Belanda masing-masing melepasi halangan pertama dalam kempen Euro 2020 dengan meraih kemenangan dan bakal memburu keputusan positif pada pertemuan sesama mereka di sini, awal pagi esok waktu Malaysia.

Kemenangan 3-1 Austria ke atas Macedonia Utara di Bucharest minggu lalu adalah yang pertama buat mereka di Kejohanan Eropah manakala Belanda menewaskan Ukraine 3-2 dalam penampilan semula pasukan di pentas saingan utama selepas tujuh tahun.

Satu lagi perlawanan di laman sendiri di Johan Cruyff Arena bakal memberikan kelebihan buat Belanda meskipun perlu memperkemaskan barisan pertahanan bagi mengelak kesilapan sama seperti aksi Kumpulan C lalu yang menyaksikan jaringan Denzel Dumfries menyelamatkan pasukan selepas membenarkan lawan menyamakan kedudukan.

"Melepaskan dua gol seperti itu bukanlah sesuatu yang kamu mahukan tetapi kami perlu dominan dan itu yang kami mahukan," kata jurulatih, Frank de Boer.

Austria dalam pada itu tentunya mahu mengukir kejayaan manis namun sedar yang Belanda bukanlah satu pasukan seperti Macedonia Utara.

"Kami masih perlu mengutip mata untuk layak ke pusingan 16 terbaik," kata jurulatihnya, Franco Foda.

Pasukan ini tentunya akan melakukan perubahan daripada sudut serangan walaupun tiga gol di Bucharest itu melebihi pencapaian jaringan mereka dalam enam penampilan di Kejohanan Eropah sebelum ini. Marko Arnautovic dan Michael Gregoritsch dijangka berada dalam kesebelasan utama selepas hanya berada di bangku simpanan sebelum ini.

"Mereka membawa dorongan baharu dalam pasukan," kata Foda.

Arnautovic dilihat kurang selesa dengan peranannya sebagai simpanan namun hanya kembali menjalani latihan selang beberapa hari selepas pulih daripada kecederaan pangkal paha.

"Apabila Marko berada di tahap tertinggi, dia sentiasa diturunkan dalam kesebelasan utama," kata Foda.

"Namun kamu perlu sentiasa berhati-hati selepas kecederaan otot. Marko sangat penting dalam pasukan bola sepak kami dan ia tampak pasti yang dia akan diturunkan dalam perlawanan bertemu Belanda daripada awal."

- AGENSI

Berita Harian X