Rabu, 16 Jun 2021 | 5:34pm

EURO: Pogba alih botol minuman keras

LONDON: Paul Pogba menjadi pemain bola sepak terbaru yang mencetuskan perasaan kurang senang penaja Euro 2020 selepas pemain Perancis itu mengalihkan botol minuman keras Heineken yang diletakkan di hadapannya.

Pogba, pemain yang beragama Islam dilihat mengalihkan botol minuman keras ketika sidang media selepas kemenangan Perancis 1-0 ke atas Jerman pada aksi pembukaan mereka, awal pagi tadi.

Bagi individu beragama Islam, alkohol adalah haram dan tindakan bintang Manchester United terbabit mengalihkan botol minuman itu mungkin disebabkan keengganannya menyokong penaja pertandingan.

Kelakuan Pogba muncul selepas Cristiano Ronaldo mengalihkan dua botol Coca-Cola yang diletakkan di hadapannya semasa sidang media praperlawanan Portugal menentang Hungary.

Pemain berusia 36 tahun itu yang sangat mementingkan kesihatan - sebelum ini menyatakan bahawa kurang senang ketika anaknya minum minuman bersoda - menjauhkan dua botol (minuman berkarbonat) di depannya sebelum berkata dalam bahasa Portugal: 'Minum air!'

Dia kemudian menunjukkan sebotol air dan meletakkan di depannya untuk sidang media, sekali gus dianggap menghina 'Coca-Cola'. - AGENSI

Berita Harian X