Selasa, 15 Jun 2021 | 11:06pm
Gambar fail - Nelo Vingada (kiri) bersama Tan Cheng Hoe yang menjadi pembantunya ketika membimbing skuad Harimau Malaya.
Gambar fail - Nelo Vingada (kiri) bersama Tan Cheng Hoe yang menjadi pembantunya ketika membimbing skuad Harimau Malaya.

TMJ akui silap lantik Vingada

KUALA LUMPUR: Rekod buruk Nelo Vingada ketika mengendalikan skuad Harimau Malaya antara perkara dibangkitkan susulan tawaran bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menguruskan skuad kebangsaan.

Pengendali dari Portugal yang menerima jolokan sebagai 'The Professor' itu gagal memenangi sebarang perlawanan sepanjang memimpin skuad Harimau Malaya dengan Tunku Ismail adalah peneraju FAM ketika itu.

Menjawab isu yang dibangkitkan itu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengakui kesilapannya dalam pemilihan Vingada sebagai jurulatih skuad kebangsaan ketika beliau memegang tampuk kepimpinan FAM dari 2017 hingga 2018.

"Nelo Vingada kesilapan, saya percaya kepada seseorang jurulatih dari Malaysia dan saya tidak fokus kepada pasukan kebangsaan. Saya terlebih fokus menyelesaikan hutang FAM dan tukar perlembagaan.

"Namun apapun, suka tak suka, saya yang terbaik dalam urusan itu. Bukan riak, fakta," katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan peminat di laman Instagram, thezonbola.

Semalam, TMJ membuat kejutan apabila menawarkan diri untuk memikul tugas dalam skuad kebangsaan bagi membantu meningkatkan persembahan skuad Harimau Malaya.

Menerusi ruangan Instagram sama, peminat turut membangkitkan sama ada TMJ boleh bersifat neutral dalam menguruskan skuad Harimau Malaya kerana pada masa yang sama beliau turut pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

TMJ bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau hanya akan menguruskan pasukan kebangsaan dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam FAM.

"Saya cuma jaga dan uruskan pasukan kebangsaan. Disiplinkan pemain, kawal akses pasukan dari pihak media atau anasir yang boleh mengganggu fokus dan mental pemain.

"Pasukan teknikal yang akan menilai setiap pemain dalam negara. Pemain mana yang sesuai dengan falsafah kita. Fasiliti latihan dan pemulihan. Itu sahaja," katanya.

Berita Harian X