Selasa, 15 Jun 2021 | 8:33pm
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto ihsan hrhcrownprinceofjohor
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto ihsan hrhcrownprinceofjohor

Peminat kena realistik - TMJ

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan peminat bola sepak tanah air perlu lebih realistik dan tidak mengharapkan perubahan segera dalam skuad Harimau Malaya.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata sikap sedemikian akan membolehkan semua pihak terutama peminat lebih menghargai atau melihat dengan jelas peningkatan dalam skuad kebangsaan.

"Keutamaan adalah keputusan, bukan untuk jaga hati semua pihak. Jika penyokong tidak realistik dan anda ingat pasukan kebangsaan Malaysia ini adalah Brazil, sampai bila kita tidak akan hargai peningkatan," katanya pada komen yang dibuat pada akaun Instagram, thezonbola.

Komen berkenaan dibuat selepas TMJ menawarkan diri untuk memikul tugas dalam skuad kebangsaan bagi membantu meningkatkan persembahan Harimau Malaya.

Dalam satu lagi komen balas yang dibuat TMJ terhadap persoalan yang diberikan peminat, TMJ turut menjelaskan bola sepak Malaysia memerlukan satu falsafah yang sama dari pasukan remaja hingga skuad senior.

"Masalah kita adalah semua jurulatih dalam pasukan kebangsaan dari junior sampai ke senior bermain ikut cara masing-masing. Kita kena ada falsafah sama dari junior hingga senior. Itu yang saya tekankan kita perlu ada pasukan teknikal sepenuh masa," katanya.

Berita Harian X