Ahad, 6 Jun 2021 | 12:04pm
Tan Cheng Hoe (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan malam skuad Harimau Malaya di Dubai, UAE. - Foto ihsan Facebook FAM.
Tan Cheng Hoe (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan malam skuad Harimau Malaya di Dubai, UAE. - Foto ihsan Facebook FAM.

'Harap Indonesia mampu benam Vietnam'

KUALA LUMPUR: "Kita harap Indonesia dapat tundukkan Vietnam pada 7 Jun ini (8 Jun waktu Malaysia). Kalau itu berlaku, kita masih ada peluang dan paling penting kita kena menang dua perlawanan. Kebetulan kita ada lebih kurang seminggu untuk mempersiapkan pasukan.

"Jadi tempoh itu perlu digunakan jurulatih untuk tampilkan kelainan dalam aksi menentang Vietnam dan jika menang, sudah tentu ia akan melonjakkan motivasi pemain untuk berdepan Thailand pada perlawanan terakhir," kata pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Yusoff Mahadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang pasukan kebangsaan berdepan dua baki aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Selepas perlawanan itu, Malaysia tercicir dari tangga kedua kepada keempat Kumpulan G manakala UAE melonjak ke tempat kedua. Kedua-dua pasukan menghimpun sembilan mata namun dibezakan dari segi jaringan manakala tempat ketiga dihuni Thailand, juga sembilan mata.

Indonesia dan Vietnam dijadual bertemu di Stadium Al-Maktoum, Dubai jam 12.45 tengah malam Selasa ini. Turut beraksi pada hari dan waktu sama adalah UAE dan Thailand di Stadium Zabeel.

Sebelum ini Indonesia mengejutkan Thailand apabila mengikat lawannya 2-2 untuk mencatat mata pertama. Skuad Harimau Malaya hanya akan turun bagi aksi seterusnya menentang Vietnam di Stadium Al-Maktoum pada 12 Jun.

Mengulas lanjut, Yusoff berkata tiada jalan lain buat skuad Harimau Malaya selain wajib menang ke atas Vietnam dan Thailand selepas ini jika mahu membuka peluang layak secara automatik ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Sekarang ini sudah menjadi misi wajib menang kedua-dua perlawanan untuk dapatkan enam mata dan kita akan jadi 15 mata. Kalau dapat enam mata ini masih ada harapan untuk berada di kedudukan kedua terbaik,".

Sementara itu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui pasukannya perlu melupakan kekalahan dengan UAE dan bersedia untuk menentang Vietnam yang memiliki corak permainan agresif.

Katanya, aksi Vietnam berdepan Indonesia pada Selasa ini menjadi peluang terbaik untuk beliau dan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya membuat analisis mengenai corak permainan bakal lawannya itu.

"Kita perlu segera bangkit dari kekalahan besar ini. Moral pemain berada pada tahap rendah dan barisan jurulatih akan berusaha membentuk semangat pemain sebagai satu pasukan untuk berdepan Vietnam," katanya.

Berita Harian X