Jumaat, 4 Jun 2021 | 8:17am
Aksi penyerang Belgium, Romelu Lukaku ketika berdepan Greece di Stadium King Baudouin dekat Brussels. - AFP
Aksi penyerang Belgium, Romelu Lukaku ketika berdepan Greece di Stadium King Baudouin dekat Brussels. - AFP

Greece ikat Belgium

PARIS: Belgium yang beraksi tanpa ramai bintang yang membantu mereka naik ke kedudukan teratas ranking FIFA diikat 1-1 oleh Greece pada pemanas badan sebelum Euro 2020 pagi tadi.

Bagi perlawanan persahabatan pertama menjelang saingan bermula 11 Jun ini, skuad kendalian Roberto Martinez tanpa khidmat Kevin De Bruyne, Eden Hazard dan Axel Witsel yang semuanya cedera.

Bekas pengendali Everton itu juga memilih untuk merehatkan Thibaut Courtois (Simon Mignolet di gawang) serta Jan Vertonghen dan Thomas Vermaelen di pertahanan.

Mereka yang beraksi di Brussels ada peluang untuk mendapatkan tempat dalam skuad Martinez berdepan Russia dalam aksi pembukaan 12 Jun ini.

Adik Hazard, Thorgan meletakkan Belgium di depan pada minit ke-20 selepas Romelu Lukaku dinafikan gol pertama oleh penjaga gol Greece, Odysseas Vlachodimosv.

Georgios Tzavellas menyamakan kedudukan buat pasukan juara Euro 2004 itu pada pertengahan babak kedua.

Martinez pasti mahu menajamkan persembahan dalam saingan persahabatan kedua berdepan Croatia Ahad ini. - AFP

Berita Harian X