Ahad, 30 Mei 2021 | 10:54am
Pemain tengah Chelsea N’Golo Kante (tengah) dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada final Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester City di Stadium Dragao, Porto. - Foto AFP
Pemain tengah Chelsea N’Golo Kante (tengah) dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada final Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester City di Stadium Dragao, Porto. - Foto AFP

Kante tidak hirau Ballon d'Or

PORTO: N'Golo Kante tidak mempedulikan tentang cadangan untuk mencalonkannya bagi anugerah Ballon d'Or tahun ini susulan kejayaan Chelsea menewaskan Manchester City pada final Liga Juara-Juara Eropah.

Skuad kendalian Thomas Tuchel muncul juara Eropah di Porto selepas jaringan Kai Havertz menundukkan anak buah Pep Guardiola di Estadio do Dragao.

Bagaimanapun persembahan Kante di bahagian tengah Chelsea yang menjadi perhatian dan dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Pemain Perancis itu antara tonggak utama Chelsea musim ini dan dia dikatakan sebagai pesaing utama untuk Ballon d'Or akhir tahun ini.

"Ia menakjubkan. Ia adalah hasil daripada usaha gigih, selepas pelbagai kesukaran diharungi musim ini.

"Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan adalah perkara kedua. Perkara utama ialah usaha berpasukan. Ia adalah kebanggaan dan kegembiraan kami.

"Kami berjuang untuk layak ke final. Hari ini, kami mendapat ganjaran di atas kesukaran yang diharungi," kata Kante.

Ketika ditanya berkenaan potensinya untuk dicalonkan bagi anugerah Ballon d'Or, Kante berkata: "Tidak, buat masa ini kami mahu meraikan Liga Juara-Juara, dan kemudian Euro, saya akan menyertai pasukan Perancis dan harap dapat memenanginya." - AGENSI

Berita Harian X