Khamis, 27 Mei 2021 | 1:48pm
Pemain kacukan Malaysia-England, Nick Swirad ketika ini mewakili kelab Liga 2 Thailand, Nongbua Pitchaya. - Foto ihsan Vocket FC.
Pemain kacukan Malaysia-England, Nick Swirad ketika ini mewakili kelab Liga 2 Thailand, Nongbua Pitchaya. - Foto ihsan Vocket FC.

Tok Gajah ikat pemain kacukan Malaysia-England?

KUANTAN: Pemain kacukan Malaysia-England, Nick Swirad dikatakan bakal menyarung jersi Sri Pahang FC sebelum jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M) musim ini ditutup pada Ahad ini.

Difahamkan, segala urusan berkaitan perpindahan pertahanan itu sedang berjalan ketika Dollah Salleh mahu mengukuhkan bentengnya. Sumber memberitahu, pemain berusia 30 tahun itu sudah berada di negara ini selepas beraksi bersama sebuah kelab di Thailand musim ini.

"Kehadiran Swirad sememangnya dinantikan Sri Pahang terutama bagi memperkasakan kubu pasukan sebaik saingan Liga Super bersambung Julai nanti. Diharapkan segalanya berjalan lancar dan Swirad akan bersama Sri Pahang," katanya.

Musim ini, Swirad yang juga bekas pemain Selangor menyarung jersi kelab Thailand, Nongbua Pitchaya dan membantu ia muncul juara Liga Dua. Namun, kekurangan penampilan bersama skuad Harimau Malaya menyebabkan dia tidak dibenarkan beraksi di Liga Satu Thailand.

Bagi Sri Pahang, pasukan itu sememangnya mahu mendapatkan pemain pertahanan berpengalaman untuk mengukuhkan benteng. Pada masa sama, ia mahu tampil lebih cemerlang pada tiga aksi terakhir sebelum liga berehat dengan kehadiran empat pemain import baharu.

Mereka ialah Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hidalgo (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Athiu (Australia).

Berita Harian X