Isnin, 10 Mei 2021 | 1:52pm
Pemain Perak, Nana Poku (kanan) diasak pertahanan Pahang, Herold Goulon pada saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. - FOTO BERNAMA
Pemain Perak, Nana Poku (kanan) diasak pertahanan Pahang, Herold Goulon pada saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. - FOTO BERNAMA

Tiga lagi pemain Perak angkat kaki?

IPOH: Ketiadaan tiga tonggak Perak FC - Kenny Pallraj, J Partiban dan Azri Ghani - pada aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Perak, malam tadi menguatkan spekulasi mengenai penghijrahan mereka ke pasukan lain.

Malah, ketua jurulatih, Chong Yee Fatt sewaktu sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan kekalahan 2-3 pasukannya menjawab secara ringkas pertanyaan sama ada tiga pemain itu hanya tidak bermain pada aksi itu atau sudah tidak berada dalam pasukannya.

"Yeah. So simple as that (Ya. Semudah itu sahaja)," katanya ringkas.

Terdahulu, nama tiga pemain itu disebut-sebut sebagai antara pemain utama yang akan berhijrah keluar dari pasukan, iaitu selepas tersebarnya spekulasi mengenai hampir separuh pemain mahu mengangkat kaki meninggalkan pasukan susulan masalah kelewatan pembayaran gaji.

Dalam pada itu, Yee Fatt berkata, tempoh rehat selama dua bulan hingga Julai depan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kebolehan pelbagai aspek pasukan terutamanya apabila membabitkan bantuan 'pinjaman' pemain dari skuad Liga Perdana, Perak II FC.

"Kita ada keseluruhan 50 pemain untuk Perak dan Perak II. Kita (masih) ada kuantiti seperti empat pemain Perak II yang beraksi malam ini (semalam) namun persoalannya sejauh mana pengalaman mereka beraksi dalam Liga Super, bahkan ini kali pertama mereka bermain bagi Liga Super," katanya.

Sementara itu, kejayaan meraih tiga mata penuh menggembirakan ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh.

Katanya kemasukan tiga import baharu iaitu Abubakar Yakubu, Manuel Hidalgo dan Athiu Kenjok menampakkan perbezaan ketara berbanding aksi menentang Selangor, Khamis lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

"Saya cuma terkilan sedikit apabila pada minit-minit terakhir, kita sepatutnya tidak mengambil mudah dan sambil lewa walaupun sudah berjaya mendahului 3-1. Bagi saya bilangan jaringan amat penting," katanya.

Berita Harian X