Sabtu, 8 Mei 2021 | 10:18pm
Hafizul sudah buat dua laporan polis dan nafi jadi dalang insiden turun bendera Perak separuh tiang.
Hafizul sudah buat dua laporan polis dan nafi jadi dalang insiden turun bendera Perak separuh tiang.

Hafizul saman penyokong RM5 juta

IPOH: Penjaga gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy akan memfailkan saman sebanyak RM5 juta terhadap seorang penyokong pasukan tersebut kerana mendakwa beliau menjadi dalang dalam insiden menurunkan bendera Perak separuh tiang malam tadi.

Muhammad Hafizul Hakim berkata, beliau turut membuat dua laporan penafian serta laporan di Balai Polis Sungai Senam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

"Saya nafikan (kejadian itu) yang mana semua pemain tidak terlibat sebab waktu kami masuk ke stadium itu pada 9.30 malam, bendera itu telah separuh tiang, kami tidak tahu siapa buat dan ada yang menuduh saya.

"Saya tak kenal siapa individu tersebut dan saya tahu dia paling aktif maki saya dalam media sosial. Sebelum ini saya tidak kisah tetapi jangan buat tuduhan melulu terhadap saya dan perkara ini serius kerana membabitkan kemangkatan Sultan," katanya selepas pertemuan dengan pengurusan Perak FC di Stadium Perak di sini, hari ini.

Pagi tadi, Pengerusi Kelab Kebajikan Masyarakat Ipoh Selatan Al Yashir Yahaya telah membuat satu laporan polis berikutan isu menurunkan bendera Perak separuh tiang yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan individu tidak dikenali di Stadium Perak pada kira-kira 11.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC berkata, tindakan pemain memboikot sesi latihan malam tadi adalah disebabkan berlaku sedikit perselisihan faham.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara itu telah diselesaikan dalam perbincangan bersama kesemua pemain sebentar tadi dan pemain meminta maaf selain berjanji tidak akan mengulanginya.

"Mereka berjanji untuk bermain dengan sepenuh hati dalam perlawanan dengan Sri Pahang FC, malam esok… ketika mereka ambil tindakan itu, gaji memang belum masuk," katanya.

Mengulas isu gaji pemain yang dilaporkan tertunggak sebelum ini, Rizal berkata Perak FC akan berusaha menyelesaikan pembayaran bagi bulan April iaitu sebelum Aidilfitri.

"Kita telah minta tempoh sedikit masa dan telah nyatakan kepada pemain bila akan selesaikan, kita akan usahakan sebelum raya," katanya.

Dalam pada itu, Rizal berkata kapten pasukan Shahrul Mohd Saad dan penyerang dari Brazil, Guilherme De Paula sudah dilepaskan untuk menyertai Johor Darul Ta'zim FC (JDT).

"Shahrul sudah tandatangan kontrak penamatan hari ini manakala De Paula akan berbuat demikian sedikit hari lagi dan mereka dibebaskan secara persetujuan bersama ke JDT.

"Setakat ini, dua saja pemain (berpindah pasukan), dalam perbincangan tadi memang tiada siapa (yang akan berpindah) sebab kita (pihak pengurusan) sudah bagi pendapat dan pemain sudah bagi hasrat mereka dan kita telah ada kata putus," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X