Khamis, 6 Mei 2021 | 10:24am
Jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh memberi arahan kepada pemain ketika menentang Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi. - BERNAMA
Jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh memberi arahan kepada pemain ketika menentang Selangor FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi. - BERNAMA

Dollah puji kebangkitan Sri Pahang

KUANTAN: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh memuji semangat juang tinggi dipersembahkan pasukan itu apabila seri 2-2 berdepan Selangor FC, malam tadi.

Beliau berkata, biarpun pada satu ketika mendahului 1-0 dan kemudiannya ketinggalan 1-2, pemain mempamerkan kebangkitan untuk menafikan kemenangan Selangor.

"Saya akui bahagian pertahanan begitu longgar pada lewat perlawanan menyebabkan lawan berjaya menjaringkan dua gol mudah.

"Tetapi di sebalik Selangor mendahului 2-1, saya gembira kerana pemain bangkit dan berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk memastikan Sri Pahang mengutip sekurang-kurangnya satu mata," katanya.

Pada perlawanan itu, penyerang Sri Pahang, Abdul Malik Mat Ariff muncul penyelamat apabila jaringan pada minit akhir perlawanan berjaya mengikat Selangor.

Satu lagi gol Sri Pahang dijaringkan Manuel Hidalgo manakala dua gol Selangor pula, masing-masing dijaringkan Hein Htet Aung dan dan Ifedayo Olusegun.

Mengulas prestasi tiga pemain import baharu, beliau berkata, kehadiran mereka membantu memperkasakan kembali pasukan itu terutama di bahagian serangan dan tengah.

Katanya, walaupun tidak berada pada prestasi terbaik terutama daripada segi kecergasan, ia permulaan yang positif buat skuad Tok Gajah.

"Saya harap prestasi lebih baik dan bertenaga akan dipersembahkan mereka pada perlawanan selepas ini," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, tuan rumah menyenaraikan tiga pemain import baharu, Abubakar Yakubu, Hidalgo dan Athiu Kenjok sebaik jendela perpindahan dibuka Isnin lalu.

Seorang lagi pemain import baharu dari Myanmar, Aung Kaung Mann tidak dapat diturunkan kerana belum menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Berita Harian X