Ahad, 25 April 2021 | 12:30am
Pemain Negeri Sembilan FC, Alain Thierry Akono (kanan) mengasak pemain Sarawak United FC, Muhammad Gopi Rizqi Ramachandran (kiri) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Negeri Sembilan, Sarawak sama liat

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengukuhkan cengkaman di puncak carta Liga Perdana walaupun sekadar seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Selepas menamatkan sembilan perlawanan, Negeri Sembilan mengumpul 18 mata manakala Sarawak mengumpul 17 mata di tempat kedua carta.

Negeri Sembilan terlebih dulu dikejutkan dengan gol awal pada minit pertama permainan menerusi jaringan dilakukan pemain tengah, Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra yang menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Damien Lim.

Jaringan itu terhasil menerusi gerakan pantas bahagian serangan Sarawak sekali gus meletakkan pasukan pelawat di depan 1-0.

Jaringan itu juga jelas dilihat memberi tekanan lebih awal buat skuad Hobin Jang Hobin yang turun dengan misi mahu mengekalkan kemenangan di laman sendiri.

Pemain Negeri Sembilan FC, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak (kiri) diasak pemain Sarawak United FC, Taylor Francis George Regan (kanan) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Usaha mendapatkan gol penyamaan itu terus dilakukan barisan depan Negeri Sembilan dan pada minit ke-26 percubaan leret Nasrullah Hanif Johan dari luar kotak penalti dapat ditepis penjaga gol Sarawak, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Anak buah K Devan mensia-siakan peluang apabila bola lorongan Beom Geun Bae dari bahagian tepi di hadapan pintu gol gagal ditampan kemas R Barathkumar pada minit ke-36.

Malah, usaha kapten Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak yang melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol Sarawak pada tempoh akhir babak pertama juga tidak membuahkan hasil.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat cuba memperkemaskan jentera serangan dalam usaha mendapatkan gol penyamaan.

Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Alain Thierry Akono menceriakan 1,444 orang penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol menerusi sepakan padu bola mati dari luar kotak penalti pada minit ke-61 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Berita Harian X