Rabu, 21 April 2021 | 10:45pm
Aksi Junior (belakang) bersama Chonburi FC.
Aksi Junior (belakang) bersama Chonburi FC.

Junior Eldstal kekal di Thailand

KUALA LUMPUR: Pemain negara, Junior Eldstal akan terus kekal beraksi di Liga Thailand selepas melanjutkan kontrak bersama Chonburi FC.

Kelab Thailand itu menawarkan kontrak lanjutan buat Junior selepas aksi cemerlang dipamerkan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Junior menyertai Chonburi pada pertengahan saingan Thai League 1 musim 2020/2021 dan terus mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Sasom Pobprasert untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

"Saya sangat teruja untuk kekal bersama Chonburi apabila mereka memberikan keyakinan dalam khidmat saya sejak empat bulan lepas sekali gus menawarkan kontrak baharu yang sukar ditolak.

"Ini adalah cabaran yang besar buat saya khususnya dalam usaha menjadi nadi dalam skuad utama pasukan dalam merealisasikan objektif serta sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

"Apa yang pasti, saya akan berikan yang terbaik dengan merebut setiap peluang untuk memastikan pasukan meraih kejayaan. Kini, saya tidak sabar untuk mengharungi musim baharu Liga Thailand nanti," katanya.

Junior pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bersama pasukan Sarawak pada 2013 sebelum menyertai skuad Harimau Selatan bermula 2015 hingga 2018.

Berita Harian X