Ahad, 18 April 2021 | 12:31am
Pemain TFC II meraikan jaringan mereka pada aksi Liga Perdana menentang JDT II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. TFC II menang 4-3. - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Pemain TFC II meraikan jaringan mereka pada aksi Liga Perdana menentang JDT II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. TFC II menang 4-3. - Foto NSTP/Ghazali Kori.

The Turtles jinak JDT II dalam pesta gol

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) kekal mempertahankan rekod tanpa kalah musim ini selepas menumpaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 4-3 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan ini sekali gus menamatkan badi seri dalam enam perlawanan berturut-turut sebelum ini sekali gus meletakkan skuad The Turtles itu di tangga kelima liga.

Pujian harus diberikan kepada pemain TFC II yang memperagakan aksi cemerlang selepas berjaya bangkit daripada tiga kali ketinggalan. Bagaimanapun sepanjang dua puluh minit pertama tiada percubaan tepat diperolehi kedua-kedua pasukan.

Memasuki minit ke-21, pelawat mendapat peluang terbaik untuk memimpin perlawanan menerusi sepakan deras Nicolas Fernandez yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Mohamad Shafawi Mohamad. Seminit kemudian Fernandez berjaya menebus kehampaan itu apabila menyumbat gol sulung aksi hasil rembatan dari luar kotak penalti untuk mendahului 1-0.

Skuad The Turtles yang mendapat suntikan semangat penyokong buat kali pertama, memperkemaskan asakan dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi sepakan leret Jordan Mintah.

Barisan pasukan Rafael Sanchez yang lebih banyak mendominasi permainan berjaya menambah jaringan pada hujung aksi babak pertama apabila Fernando Rodriguez mudah menolak masuk bola muntah tampanan penjaga gol untuk mendahului 2-1.

Memasuki babak kedua, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tandukan mengelirukan kapten, Argzim Redzovic pada minit ke-51 berpunca sepakan percuma Muhammad Hairiey Hakim Mamat.

JDT II tidak mudah mengalah, apabila sekali lagi di depan menerusi tandukan Rodriguez pada minit ke-68 hasil hantaran lintang Syazwan Andik.

Semangat melawan kental yang diperagakan pemain tuan rumah sekali lagi membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi pemain import kelahiran Jepun, Masaki Watanabe yang mudah menolak masuk gol hasil sepakan sudut Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-82.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Mintah sekali lagi mencuri tumpuan apabila menolak masuk gol kemenangan pada minit ke-90 untuk menjadikan kedudukan muktamad 4-3.

Berita Harian X