Ahad, 4 April 2021 | 10:16pm
Pemain Penang FC, Marcus Yung Jian Mah (kiri) diasak pemain Perak FC, Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham (dua kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang semalam. - Foto NSTP/Danial Saad.
Pemain Penang FC, Marcus Yung Jian Mah (kiri) diasak pemain Perak FC, Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham (dua kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang semalam. - Foto NSTP/Danial Saad.

Trucha belum puas hati prestasi Penang FC

KUALA LUMPUR: Sekalipun bangkit untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Perak FC, pengendali Penang FC, Tomas Trucha tidak gembira selepas anak buahnya memberi banyak peluang kepada pasukan lawan untuk 'bermain' dan mencipta banyak peluang.

Trucha yang dilabel 'Jurgen Klopp Liga Super' susulan memiliki wajah mirip pengendali Liverpool itu turut mengakui persembahan barisan pertahanannya juga kurang kemas sekali gus dia menuntut anak buahnya tampil dengan aksi lebih kemas selepas ini.

"Bukan setakat pertahanan, pemain tengah juga memberikan banyak ruang kepada Perak FC apabila memudahkan mereka mencipta begitu banyak peluang. Saya tidak suka melihat perkara seperti itu.

"Tidak mudah selepas dibolosi satu gol menentang pasukan yang baik seperti Perak FC tetapi pemain berjaya mencipta kebangkitan untuk meraih kemenangan 2-1.

"Perasaan saya bercampur baur untuk perlawanan malam ini (kelmarin). Saya gembira dengan keputusan ini tetapi tidak berpuas hati dengan persembahan pemain. Sebagai jurulatih, saya lihat banyak lagi penambahbaikan perlu dilakukan," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Kumbang ketinggalan terlebih dahulu menerusi gol awal pelawat namun mereka meledak dua gol menerusi Casagrande dan Rafael Vitor untuk memberikan tiga mata sekali gus membolehkan mereka menghuni tangga keempat Liga Super dengan 11 mata.

Sementara itu, pengendali The Bos Gaurus, Chong Yee Fatt melihat kegagalan anak buahnya mengekalkan momentum seperti pada babak pertama menyumbang kepada tumbangnya mereka di tangan Penang FC.

Malah, ia turut diburukkan selepas anak buahnya mensia-siakan banyak peluang yang dicipta dan kurang kreativiti sekali gus terpaksa membayar harga yang mahal dengan kekalahan pada aksi terbabit.

"Kita beraksi dengan baik pada babak pertama tetapi kita tidak dapat mengekalkannya untuk babak kedua. Kita tahu Penang FC akan terus memburu gol kemenangan dan kami tidak bernasib baik apabila mereka berjaya melakukannya.

"Gerakan untuk mencipta gol sudah baik, cuma sentuhan terakhir tidak begitu menjadi. Kita mencipta beberapa peluang dan kalau kita dapat menyudahkan peluang itu, pasti keputusannya berbeza," katanya.

Berita Harian X