Jumaat, 2 April 2021 | 10:25pm
Pemain tengah Perak FC, Kennny Pallraj (dua kiri) ketika berlatih bersama pasukan di Ipoh. - Foto ihsan vocketfc.
Pemain tengah Perak FC, Kennny Pallraj (dua kiri) ketika berlatih bersama pasukan di Ipoh. - Foto ihsan vocketfc.

'Beri peluang Yee Fatt pacu Perak'

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Perak FC, Kennny Pallraj mengharapkan penyokong supaya memberikan lebih banyak masa kepada pengendali, Chong Yee Fatt dalam memikul cabaran dalam kancah Liga Super musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu yakin terhadap kemampuan dan kredibiliti Yee Fatt yang disifatkan sebagai jurulatih berpengalaman serta mampu memacu skuad The Bos Gaurus untuk bersaing dengan pasukan elit lain.

Dia berpendapat Yee Fatt berdepan kesuntukan masa dalam membentuk pasukan di saat akhir susulan pelantikannya dalam tempoh dua minggu sebelum liga musim ini bermula.

"Saya faham mengenai harapan tinggi yang disandarkan peminat, namun saya ingin beritahu, Yee Fatt adalah seorang jurulatih yang bagus cuma ada beberapa faktor tidak membantunya.

"Perubahan pengurusan selain dua minggu sahaja bersama Perak FC menjadikan dia sukar untuk cuba terapkan gaya permainannya bersama pasukan dan pemain juga sedang cuba menyesuaikan dengan caranya.

"Memang persiapan pasukan ini dari awal tidak berapa bagus tetapi komitmen pemain berpengalaman dan keazaman pemain muda, kami dapat menunjukkan satu kematangan yang bagus dan harap mampu kekalkan momentum pada perlawanan mendatang," katanya.

Mengulas mengenai pertembungan menentang Penang FC malam ini, Kenny melihat aksi sengit pasti ditonjolkan apatah lagi pasukan lawan sedang dibuai keyakinan selepas mengejutkan Selangor FC pada aksi terakhir.

"Saya tidak nafikan Penang sekarang sedang lalui satu prestasi yang bagus dan melihat kepada cara permainan mereka, jelas ada satu keserasian yang baik sesama pemain.

"Bagaimanapun, saya tidak risau dengan pihak lawan kerana apa yang saya lebih utamakan adalah mengenai pasukan sendiri dan jika kami semua dapat bersatu, tiada apa yang mustahil.

"Walaupun pasukan kami bukanlah besar tetapi pemain muda menunjukkan komitmen yang tinggi seperti Izzudin Roslan dan Adib Ábdul Raop yang mula berikan impak yang bagus buat Perak FC," katanya.

Berita Harian X