Selasa, 30 March 2021 | 6:50pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) menandatangani playkat simbolik pelancaran edisi pertama Liga SupaRimau di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. - Foto BERNAMA.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) menandatangani playkat simbolik pelancaran edisi pertama Liga SupaRimau di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. - Foto BERNAMA.

Pemain, pegawai Liga M terima vaksin selepas Mei

PETALING JAYA: Pemain dan pegawai pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) tampak perlu terus 'berhati-hati' memandangkan mereka hanya akan menerima dos vaksin COVID-19 selepas Mei.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menjelaskan pihak terbabit masih lagi perlu menunggu buat masa ini kerana mereka dimasukkan dalam fasa kedua program vaksinasi.

"Untuk permulaan ini, hanya 264 individu daripada 4,000 nama yang dikemukakan. Untuk Liga M, saya jangkakan pada fasa kedua bermula bulan Mei dan ke atas tetapi kita perlu sesuaikan juga dengan jadual bekalan vaksin.

"Ini kerana setiap kali mereka mendapat suntikan untuk vaksin, satu lagi stok akan disimpan untuk kitaran seterusnya. Sebab itu kalau laporan kita menerima 1 juta vaksin, namun hanya 500,000 yang boleh menerimanya.

"Setiap satu yang divaksin, satu lagi disimpan untuk inventori. Sebab itulah kita memang perlu lihat jadual bekalan vaksin terlebih dahulu," katanya ketika ditemui selepas melancarkan edisi pertama Liga SupaRimau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM, Kelana Jaya dekat sini, hari ini.

Sebagai rekod, seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula April ini.

Ia adalah kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.

Reezal sebelum ini menjangkakan pada Mei ini, semua 264 individu itu akan mendapatkan suntikan dos kedua sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertanding di peringkat antarabangsa.

"Kami mengharapkan sekurang-kurangnya pada Mei ini, 264 akan berjaya divaksin. Maknanya mereka sudah disuntik dua dos vaksin supaya setibanya bulan Julai, mereka berada dalam keadaan yang boleh menyertai (kejohanan) dan bebas COVID-19," katanya.

Berita Harian X