Selasa, 30 March 2021 | 10:26am
Luqman Hakim Shamsudin (kiri) antara pemain muda yang menampilkan persembahan baik sepanjang kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Johor Bahru minggu lalu. - Foto ihsan fb FAM.
Luqman Hakim Shamsudin (kiri) antara pemain muda yang menampilkan persembahan baik sepanjang kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Johor Bahru minggu lalu. - Foto ihsan fb FAM.

3 'ubi muda' berpeluang cerah sertai skuad Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Pasport ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk ke kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 mungkin berada dalam genggaman tiga pemain muda negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Ramadhan Saifullah Usman dan Rahadiazli Rahalim.

Ini selepas tiga 'ubi muda' yang juga muka baharu pada panggilan kem latihan pusat minggu lalu berjaya memberikan persembahan terbaik sehingga menarik perhatian barisan kejurulatihan yang dikemudi Tan Cheng Hoe.

"Semua pemain memberikan persembahan yang terbaik tetapi untuk muka baharu seperti tiga pemain muda ini, kita memang nampak mereka ada potensi yang cerah untuk skuad kebangsaan.

"Bukan setakat tiga pemain ini tetapi pemain naturalisasi kita, Guilherme de Paula juga tampak sudah serasi dan faham apa yang kita mahukan. Jadi saya mengharapkan semua pemain dapat terus konsisten dalam aksi liga yang akan berlangsung selepas ini," kata Cheng Hoe.

Sebagai rekod, kem latihan pusat yang berlangsung di Johor Bahru itu seharusnya diadakan selama sembilan hari namun dipendekkan sehingga tujuh hari apabila berakhir kelmarin.

Panggilan kali ini menyaksikan 28 pemain dipanggil dengan 17 dikekalkan daripada skuad kelayakan sebelum ini manakala enam pemain lagi digugurkan. Untuk itu, seramai 11 pemain baharu dipanggil untuk melengkapkan senarai 28 pemain termasuk tiga pemain muda itu dan juga de Paula.

Sebagai rekod, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini mengumumkan UAE dipilih sebagai tuan rumah untuk baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi kumpulan G yang merangkumi UAE, Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Skuad bimbingan Cheng Hoe itu akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).

Berita Harian X