Isnin, 15 March 2021 | 7:57am
Penyerang Juventus Cristiano Ronaldo menanduk gol pembukaan ketika aksi Serie A menentang Cagliari di Sardegna Arena. - Foto AFP
Penyerang Juventus Cristiano Ronaldo menanduk gol pembukaan ketika aksi Serie A menentang Cagliari di Sardegna Arena. - Foto AFP

Hatrik pantas Ronaldo jawab kritikan

MILAN: Cristiano Ronaldo membalas kritikan terhadapnya dengan meledak hatrik pantas dalam kemenangan 3-1 Juventus ke atas Cagliari, lima hari selepas pasukannya tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.

Bintang Portugal itu dikritik kerana ketumpulannya dalam kedua-dua aksi kelompok 16 terakhir menentang Porto, serta menjadi punca kepada gol yang menyingkirkan mereka.

Tetapi pemain 36 tahun itu menanduk masuk bola pada minit ke-10 aksi di Sardegna Arena, menyempurnakan penalti 15 minit kemudian dan melengkapkan hatrik pada minit ke-31 dalam aksi Serie A.

Juara bertahan Juventus kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Inter Milan yang menewaskan Torino 2-1, tetapi bermain kurang satu perlawanan.

Skuad kendalian Andrea Pirlo hanya satu mata di belakang AC Milan di tangga kedua, yang misi memburu kejuaraan tercalar selepas tewas 1-0 kepada Napoli di laman sendiri.

"Pendekatan kami tepat dan ia penting untuk kembali di landasan betul selepas tersingkir hari itu.

"Ronaldo berang seperti rakan sepasukan lain. Dia bertindak balas sebagai juara sebenar," kata Pirlo.

Ronaldo kini mendahului senarai penjaring Serie A dengan 23 gol musim ini, mengatasi Romelu Lukaku pada 19 gol.

Jaringan keseluruhan kariernya kini adalah 770 gol, mengatasi legenda Brazil Pele pada 767 gol dalam perlawanan rasmi yang berjaya ditandingi awal bulan ini.

Pele turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan Ronaldo mengatasi rekodnya.

"Tahniah kerana memecahkan rekod jaringan saya dalam perlawanan rasmi. Saya amat mengagumi anda, saya suka melihat anda bermain.

"Saya cuma kesal tidak dapat memeluk anda hari ini," kata Pele, 80, di laman Instagramnya.

Pele, satu-satunya pemain dalam sejarah yang memenangi tiga gelaran Piala Dunia, mendakwa dia meledak 1.283 gol keseluruhan, termasuk dalam perlawanan tidak rasmi.

668 jaringan Ronaldo adalah bersama kelab - lima ketika di Sporting Lisbon, 118 untuk Manchester United, 450 untuk Real Madrid dan 95 bersama Juventus.

Dia turut meledak 120 gol untuk pasukan kebangsaan Portugal. - AFP

Berita Harian X