X
Khamis, 31 Disember 2020 | 8:31pm
Ronaldo memenangi anugerah ‘Golden Foot’.
Ronaldo memenangi anugerah ‘Golden Foot’.

Ronaldo idam julang Piala Dunia

LONDON: Cristiano Ronaldo mahu terus beraksi 'lebih lama' dan mengimpikan untuk memenangi Piala Dunia bersama Portugal.

Bintang Juventus itu hanya ketinggalan tujuh gol di belakang Ali Daei yang mencipta rekod selepas meledak 109 untuk pasukan kebangsaan.

Bercakap selepas memenangi anugerah 'Golden Foot' yang belum pernah dimenangi oleh Lionel Messi, Ronaldo berkata, usia tidak menjadi halangan.

"Apa yang penting adalah mentaliti.

"Ketika ini saya gembira, saya berada dalam keadaan terbaik dan berharap dapat terus beraksi lebih lama tetapi anda tidak tahu.

"Ini adalah bola sepak dan kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok. Saya sering mengatakan kepada pemain muda supaya nikmati masa sekarang kerana kita tidak tahu apa akan terjadi," katanya.

Ronaldo memiliki rekod mengagumkan 654 gol dalam 864 perlawanan peringkat kelab di Sporting Lisbon, Manchester United, Real Madrid dan Juventus.

Dia membantu Portugal merangkul Kejuaraan Eropah 2016 dan kini bersemangat untuk mempertahankan gelaran itu pada kejohanan yang ditunda sehingga musim panas depan.

Bekas hero 'The Red Devils' itu juga terus memandang jauh ke depan dan mengimpikan untuk memenangi Piala Dunia 2022 dengan dia ketika itu akan berusia 37 tahun.

"Kami memenangi Kejuaraan Eropah 2016 dan kami mahu memenangi Piala Dunia pula.

"Ia tidak mustahil tetapi kita pun perlu realistik. Impian saya adalah untuk memenangi sesuatu bersama Portugal dan kini saya ada dua kejuaraan. Itu membuatkan saya gembira.

"Saya menang gelaran dengan semua kelab yang saya pernah wakili tetapi Piala Dunia, ia adalah satu impian," katanya. -Agensi

Berita Harian X