Sabtu, 3 Oktober 2020 | 12:33pm
Gambar fail, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam . - Foto Mohd Yusni Ariffin
Gambar fail, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam . - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Usah ghairah bina stadium, fokus padang latihan'

KUALA LUMPUR: 'Jangan ghairah bina stadium, fokus pada venue latihan dahulu!'

Itu harapan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang mahukan supaya setiap pasukan dapat melihat kepentingan untuk memiliki dan menaiktaraf padang latihan buat pasukan terlebih dahulu sebelum 'memuaskan nafsu' untuk merancang memiliki stadium.

Jelas Stuart, pihaknya sama sekali tidak akan membebankan pasukan untuk memiliki stadium sendiri kerana berdasarkan peringkat awal proses penswastaan yang baru dijalankan bermula musim hadapan, kestabilan pasukan menjadi keutamaan oleh badan induk itu.

"Kita kena faham di mana kos untuk pembinaan dan juga penyelenggaraan sesebuah stadium itu amat tinggi dan bukan semua negara maju dalam bola sepak, stadiumnya dimiliki oleh pasukan.

"Mungkin ya kalau di England, Sepanyol dan Jerman namun di sana pun, ia adalah satu kemewahan untuk pasukan memiliki stadium sendiri. Tetapi kalau kita lihat di Australia, stadium pasukan kebanyakannya disewa daripada perbadanan tempatan.

"Apa yang penting buat pasukan adalah padang latihan kerana pasukan lebih banyak menghabiskan masa di padang latihan daripada di stadium. Dengan penswastaan, pasukan boleh manfaatkan kerjasama bagi menaikkan standard venue latihan kerana dengan itu, persembahan di atas padang juga akan bertambah maju," katanya.

Justeru, Stuart menggalakkan sekiranya pasukan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan perbadanan stadium bagi memastikan stadium boleh digunapakai serta infrastrukturnya dapat dikhaskan sebagai keutamaan kepada pasukan dan juga penyokong.

"Saya rasa dengan penswastaan ini, akan bermulalah perbincangan korporat antara pasukan dan stadium di mana pada dulunya, pendapatan pasukan daripada hari perlawanan adalah lebih menjurus kepada kutipan tiket semata mata dan industri sekeliling masuk ke pihak tertentu.

"Dengan modul ini, mentaliti pasukan akan berubah bagi memastikan mereka dapat 'menangkap semua' pendapatan yang boleh diperolehi pada setiap hari perlawanan. Dengan cara ini, pendapatan pasukan mungkin boleh melonjak sehingga empat atau lima kali ganda.

"Pemilikan stadium tidak bermakna pasukan harus ada stadium tetapi ia boleh membabitkan kerjasama antara pasukan dan pemilik stadium. Sebab itu buat masa ini, kita galakkan mereka bekerjasama dalam pelbagai cara yang dirasakan baik. FAM boleh bantu dari segi perbincangan itu," katanya.

Berita Harian X