Khamis, 24 September 2020 | 8:13pm
Pengamal undang-undang, Nik Erman Nik Roseli.
Pengamal undang-undang, Nik Erman Nik Roseli.

FAM kena tunggu FIFA

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menunggu keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan isu Mohamadou Sumareh.

Beliau berkata, FAM boleh mendengar isu kontrak pemain tempatan dan antarabangsa berdasarkan Peraturan Status dan Perpindahan Pemain (RSTP) Jun 2020.

Katanya, berdasarkan RSTP yang dinyatakan, FAM perlu menunggu keputusan FIFA sama ada badan bola sepak dunia itu mahu mendengar kes berkenaan atau menolak kepada FAM.

"Mengenai isu kontrak pemain Malaysia, ia adalah isu domestik dan dalam bidang kuasa FAM. Tetapi, dalam isu Sumareh, ia sudah mendapat perhatian FIFA terlebih dahulu.

"Menurut Artikel 22 RSTP, isu antara kelab dan pemain berkaitan kelewatan pembayaran gaji dan terdapat permohonan ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa), ia juga dalam bidang kuasa FIFA.

"FIFA akan menentukan sama ada mereka mempunyai bidang kuasa mendengar isu ini atau tidak walaupun Sumareh adalah pemain Malaysia.

"Sebagai penerangan mudah, pemain Malaysia pindah ke Kelab Malaysia adalah perpindahan domestik dan berada dalam bidang kuasa FAM. Bagi pemain Malaysia pindah ke Kelab Thailand, ia perpindahan antarabangsa dan (berada) dalam bidang kuasa FIFA," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dilaporkan menuntut FAM tidak berdiam diri dan mencari jalan menyelesaikan kontroversi perpindahan Sumareh.

FAM bagaimanapun menganggap dakwaan yang yang dibuat PBNP itu sebagai tidak berasas kerana badan induk itu perlu menunggu keputusan FIFA terlebih dahulu.

Selain itu, Nik Erman bersetuju dengan tindakan yang diambil FAM kerana kes Sumareh kini sudah berada di tangan FIFA.

"Peguam Sumareh memilih untuk membawa kes ini kepada FIFA dan difahamkan bahawa ia sudah berada di tangan FIFA sekarang. Bukan FAM tak nak, tapi kena tunggu," katanya.

Berita Harian X