Sabtu, 12 September 2020 | 6:33pm
Aksi pemain Selangor dan Melaka pada perlawanan Liga Super malam tadi. - Foto FA SELANGOR
Aksi pemain Selangor dan Melaka pada perlawanan Liga Super malam tadi. - Foto FA SELANGOR

Saya bukan Superman - Sathia

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan mengakui masalah utama pasukannya gagal meraih keputusan positif dalam tiga perlawanan selepas Liga Super bersambung semula hujung bulan lalu kerana kegagalan menyempurnakan peluang untuk mendapatkan jaringan.

Ketumpulan jentera serangan menyaksikan Selangor terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat Melaka United 1-1, malam tadi dan Sathianathan menjelaskan perkara sama turut berlaku ketika mereka seri tanpa jaringan berdepan PJ City, sebelum ini.

"Macam lawan PJ City, kita tak dapat gol. Kita tak boleh salahkan (bagi alasan) yang kita tiada penyerang. Rufino (Segovia) sebelum ini penjaring terbanyak, Ifedayo (Olusegun) cuba dan Syazwan (Zainon) ada peluang.

"Jadi banyak peluang, tapi kita tak ambil. Selepas itu, lima minit terakhir kita tertekan sebab kita tak jaringkan gol. Kalau kita jaringkan gol dari awal, saya fikir kami boleh kawal permainan.

"Saya tak boleh ajar penyerang bagaimana mahu menjaringkan gol. Jurulatih yang boleh ajar penyerang jaringkan gol dia adalah Superman," kata Sathianathan selepas perlawanan.

Keputusan dengan Melaka United di Stadium UiTM Shah Alam menyaksikan kedua-dua pasukan mengumpul 10 mata selepas tujuh perlawanan musim ini.

Selain itu, Sathianathan menjelaskan dia akan cuba mencari jalan untuk memperbaiki ketajaman penyudah Red Giants bagi mempersiapkan pasukan berdepan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini.

"Apa saya nak cakap lagi, kalau kita tak jaringkan gol, sebagai jurulatih, takkan saya nak masuk jaringkan gol. Jadi, saya kena perbaiki macam lebihkan dari segi latihan untuk menjaringkan.

"Tapi hairan dalam latihan mereka jaringkan gol. Kadang-kadang ini (kerana) tekanan. Saya puas hati dengan semua komitmen pemain, saya tiada masalah, cuma kita mesti dapatkan gol.

"Bukan kita hanya letakkan beban ini kepada Ifedayo atau Rufino, pemain lain pun mesti tahu bagaimana nak jaringkan gol. Terutama ketika 'set pieces', kita ada Safuwan (Baharudin), Taylor (Regan), semua (pemain) yang tinggi. Jadi itu kita kena betulkan sedikit," katanya.

Berita Harian X