Jumaat, 14 Ogos 2020 | 1:51pm
Lionel Messi (kiri), Ronaldo (tengah) dan Neymar.
Lionel Messi (kiri), Ronaldo (tengah) dan Neymar.

Messi paling kaya

LONDON: Lionel Messi disenaraikan sebagai pemain bola sepak terkaya di dunia, mengatasi musuh ketatnya, Cristiano Ronaldo.

Majalah France Football menyenaraikan 10 pemain yang menerima gaji tertinggi pada 2019 yang menyaksikan kedua-dua pemain itu menduduki tempat pertama dan kedua.

Messi meraih pendapatan sebanyak 120 juta pound (RM658 juta) tahun lalu, lebih 11 juta pound (RM60 juta) berbanding Ronaldo yang beraksi bersama Juventus.

Kedua-dua pemain menjadi pemain yang berjaya melepasi penanda aras melebihi 100 juta pound (RM548 juta).

Jumlah pendapatan itu adalah termasuk bayaran daripada gaji, bonus, duta produk, hasil komersial dan lain-lain.

Jurang antara pemain lain dengan kedua-dua bintang itu sangat besar.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar meraih pendapatan sebanyak 87 juta pound (RM477 juta) tahun lalu manakala penyerang Real Madrid, Gareth Bale menerima bayaran sebanyak 35.45 juta pound (RM194 juta).

Bale mengatasi Antoine Griezmann yang berada di tangga kelima dengan pemain antarabangsa Perancis itu merekodkan pendapatan sebanyak 35.25 juta (RM193 juta).

Bintang Manchester City, Raheem Sterling adalah satu-satunya pemain dari Liga Perdana Inggeris berada dalam senarai berkenaan dengan meraih pendapatan 30.96 juta pound (RM170 juta).

Paling mengejutkan berada dalam senarai berkenaan ialah Andres Iniesta.

Walaupun sudah meninggalkan Nou Camp untuk ke kelab Jepun, Vissel Kobe pada 2018, Iniesta masih lagi menjana pendapatan tinggi iaitu 31.14 juta pound (RM171 juta) pada 2019.

France Football boleh menafikan Robert Lewandowski untuk anugerah Ballon d'Or tahun ini, namun mereka tidak boleh mengetepikan penyerang Bayern Munich itu dari segi pendapatan di mana ia mencecah 26.56 juta pound (RM146 juta).

Kylian Mbappe menyertai rakan sepasukannya Neymar untuk berada dalam senarai berkenaan, selepas memperoleh pendapatan 24.73 juta pound (RM136 juta) tahun lalu bagi melengkapkan kedudukan 10 pemain terkaya. - Agensi

Berita Harian X