Khamis, 11 Jun 2020 | 12:37pm
PEMAIN Chelsea, N’golo Kante.
PEMAIN Chelsea, N’golo Kante.

Kante suntik semangat Chelsea

LONDON: N'Golo Kante melonjak semangat Chelsea menjelang sambungan Liga Perdana Inggeris dengan beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Reading.

Pemain tengah itu baru saja kembali menjalani latihan bersentuhan penuh di Cobham selepas bercuti kerana bimbang dengan pandemik COVID-19.

Kante menunjukkan tahap kecergasan baik dan sedia diturunkan untuk pertemuan dengan Aston Villa minggu depan.

Skuad kendalian Frank Lampard menang 1-0 pada aksi persahabatan itu hasil jaringan pemain sayap veteran Pedro.

Selain Kante, Chelsea juga bakal diperkuat Ruben Loftus-Cheek yang turut beraksi pada perlawanan itu.

Dia tidak diturunkan sepanjang musim ini akibat kecederaan serius sebelum final Liga Europa tahun lalu.

Lampard sudah menandatangani perancang Ajax Hakim Ziyech dan kini hampir menyempurnakan perpindahan Timo Werner dari RB Leipzig.

Bintang Bayer Leverkusen Kai Havertz antara pemain seterusnya yang akan berpindah ke Stamford Bridge, selain bek kiri Leicester Ben Chilwell yang turut berada dalam radar Chelsea. - AGENSI

Berita Harian X